suria

Conte Puas Hati Walau Chelsea Kalah

Antonio Conte. -fotoAFP

PENGURUS Chelsea, Antonio Conte, memuji reaksi yang ditunjukkan skuad asuhannya walaupun kalah 2-3 kepada Bayern Munich dalam perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2017 di The National Stadium, Singapura, Selasa.

Menurunkan sebahagian besar besar pemain utama, The Blues diberi tentangan sengit oleh The Bavarians.

Berdasarkan statistik di laman rasmi ICC 2017, Chelsea mencatatkan 41.3 peratus penguasaan bola, berbanding 58.7 yang dicatatkan Munich.

The Blues ketinggalan 1-3 pada babak pertama. Gol tunggal Chelsea diledakkan oleh Marcos Alonso pada minit ke-48, selepas Rafinha menjaringkan gol pada minit keenam diikuti gol oleh Thomas Muller pada minit ke-12 dan ke-27.

Masuk babak kedua, Chelsea mula menunjukkan reaksi positif apabila berjaya melemahkan barisan belakang Die Roten.

Michy Batshuayi berjaya menjaringkan gol kedua Chelsea pada minit ke-85, sekali gus membawa pasukannya merapatkan jurang mata.

Bagaimanapun, kedudukan 2-3 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

"Kami ketinggalan tiga gol dalam masa setengah jam dan ia bukan sesuatu yang sederhana, ini adalah keadaan yang sukar tapi reaksi pemain sangat baik. Kami tidak menyerah dan komitmen pemain cukup bagus," kata Conte.

"Kami cuba untuk berjuang. Kami tidak mengawal perlawanan dengan baik, tapi para pemain menunjukkan kepada saya kemahuan yang tinggi untuk cuba mengubah keputusan," katanya.

Chelsea akan bertemu Inter Milan dalam perlawanan seterusnya, Sabtu ini.

ICC 2017, Chelsea, Antonio Conte

Artikel Lain