WALAUPUN hanya membeli seorang pemain bertaraf dunia, Jurgen Klopp tetap yakin dengan kemampuan Liverpool untuk memberi saingan sengit pada musim depan. Selain Mohamed Salah yang dibeli dengan harga 37 juta pound sterling, Liverpool menambah kekuatan serangan dengan menandatangani bekas pemain Chelsea, Dominic Solanke secara percuma. Walaupun jentera serangan Liverpool tampak ampuh, tetapi Klopp masih mengharapkan barisan pertahanannya mempamerkan tahap disiplin yang tinggi pada musim depan. Musim lepas menyaksikan barisan serangan anak buah Klopp menghasilkan 78 gol tetapi bolos 48 gol, lebih banyak berbanding tiga lagi pasukan teratas liga. "Kami perlu bertahan dalam situasi yang berbeza dan memikirkan cara untuk membuatkan pasukan lain 'naik gila' dengan kualiti yang kami miliki. "Dengan kualiti dan kemahiran anak buah saya, anda akan melihat pelbagai pilihan untuk melakukan serangan, tetapi kekemasan (disiplin) merupakan perkata utama," kata Klopp. Klopp turut mengakui bahawa dia kecewa dengan corak pertahanan Liverpool ketika berdepan situasi bola mati dan meminta pemainnya agar lebih fokus serta mengatasi masalah itu. "Saya tidak mahu mengimbas kembali isu bola mati kerana ia bukan gol terus daripada situasi tersebut. "Gol berpunca selepas situasi bola mati sama ada daripada lontaran ke dalam atau seumpamanya," kata pengurus berusia 50 tahun itu. - MAIL ONLINE