PUTRAJAYA: Institut Sukan Negara (ISN) terus mengorak langkah ke hadapan dalam usaha memperkasa aspek sains sukan dengan memeterai beberapa perjanjian dengan pelbagai pihak. Antaranya menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan sebuah syarikat perundingan, UMP Consultancy and Training Sdn Bhd, syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP). "Tujuan utama kerjasama tersebut adalah untuk membangunkan satu perisian pintar yang dikenali 'ISN Sports Talent Compass' yang mampu merekod dan menyimpan sehingga 500,00 maklumat berkaitan atlet," kata ketua pegawai eksekutif (CEO) ISN, Dr Mohd Khairi Zawi selepas majlis berkenaan. Khairi menandatangani MoA itu bagi pihak ISN manakala UMP Consultancy and Training Sdn Bhd diwakili Ketua Projek Talent Compass Software Dr Zahari Taha. Khairi berkata perisian itu sekali gus akan membantu ISN membuat ramalan dan mengenal pasti potensi seseorang atlet dalam sukan yang diceburi berdasarkan rekod prestasi yang disimpan dalam perisian tersebut. "Pada peringkat awal ini, kita mengambil perimeter-perimeter ujian khusus untuk perisian ini dan kita akan dapat meramalkan kebolehan dan juga potensi mereka untuk berjaya dalam masa dua atau tiga tahun selepas itu. "Sebagai contoh, jika atlet tersebut berumur 14 tahun, sistem ini dapat membuat ramalan mengenai tahap kesesuaian sukan yang diceburi atlet itu ketika berumur 16 tahun dan apakah sukan yang mungkin mereka lebih berpeluang untuk berjaya," katanya. Untuk peringkat awal, sebanyak lapan sukan utama iaitu bola sepak, badminton, renang, berbasikal, olahraga, ragbi, sepak takraw dan angkat berat terlibat dalam pembangunan sistem perisian pintar tersebut. Pada majlis yang sama juga, ISN turut menandatangani dua lagi perjanjian iaitu kontrak penajaan selama tiga tahun bernilai RM282,000 bersama syarikat minuman susu kultur, Yakult Malaysia serta Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Monash University Malaysia. Melalui penajaan bersama Yakult Malaysia itu menyaksikan sejumlah 100,000 botol minuman Yakult Ace Light, yang merupakan minuman probiotik dari Jepun, akan dibekalkan kepada atlet kebangsaan manakala Monash University Malaysia akan membantu ISN dari segi kerja penyelidikan berkaitan sukan dan kesihatan.-Bernama