REAL Madrid baru saja berjaya meraih gelaran juara Piala Super Eropah 2017 dengan menewaskan Manchester United 2-1, awal pagi Rabu. Dua gol Madrid diperolehi menerusi Casemiro di babak pertama dan Isco Alarcon di separuh masa kedua. Gol United pula diperolehi menerusi jaringan Romelu Lukaku pada minit ke-62. Dalam perlawanan tersebut, terdapat dua individu yang menjadi perhatian iaitu jurulatih United, Jose Mourinho dan bintang Madrid, Cristiano Ronaldo. Seperti diketahui umum, kedua-dua mereka pernah bekerjasama ketika Mourinho melatih Madrid selama tiga musim dari 2010 hingga 2013. Ketika memutuskan untuk keluar dari Madrid, Mourinho dilaporkan memiliki hubungan tidak baik dengan Ronaldo. Namun, dalam pertandingan Piala Super Eropah 2017, kedua-duanya dilihat mempunyai hubungan akrab. Ketika menuju bilik persalinan sebaik tamat babak pertama, Mourinho datang kepada Ronaldo yang kemudiannya merangkul pinggang bekas jurulatihnya itu. Malah, ketika Madrid diumumkan sebagai pemenang pertandingan, Mourinho kembali datang kepada Ronaldo, menghulurkan tangannya mengucapkan tahniah, merangkul leher dan memegang pipi pemain berkenaan.