suria

Doa Insan Istimewa Penting Buat Ifwat Akmal

PENJAGA GOL skuad Sukan SEA (KL2017) negara menyifatkan kejayaan yang dikecapi selama ini hasil restu dan doa individu istimewa dalam hidupnya.

Ifwat Akmal Che Kassim berkata, penampilan sebagai penjaga gol utama dalam aksi pertama Malaysia di temasya KL2017 adalah hasil restu dan doa ibunya.

Menurutnya, bermula dengan kejayaan menjadi penjaga gol utama Kedah sehingga dipanggil skuad kebangsaan merupakan saat manis dalam kariernya setakat ini.

"Saya teruja, pada masa sama saya berterima kasih kepada ibu saya kerana dengan doa dan restunya saya dapat mencapai kejayaan, termasuk membantu Malaysia menang 2-1 ke atas Brunei.

"Dengan semangat juang yang ada saya akan lakukan yang terbaik untuk negara bagi memastikan hasrat memenangi pingat tercapai," katanya kepada mStar Online selepas tamat perlawanan di Stadium Shah Alam.

Ifwat Akmal menambah, dia bersyukur apabila permainan berakhir dengan kemenangan berpihak pada skuad negara.

"Saya lega sikit apabila Adam Nor Azlin menjaringkan gol kedua, ketika itu saya pula tekad untuk memastikan gawang negara tidak lagi bocor.

"Untuk perlawanan seterusnya, saya akan terus menjalankan tugas dengan sebaik mungkin bersama rakan-rakan sepasukan.

"Kami akui tidak ada perlawanan yang mudah, oleh itu kami perlu mengikut segala disiplin yang telah ditetapkan barisan kejurulatihan," ujarnya.

Kedah, Sukan SEA, KL2017, Ifwat Akmal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain