suria

Fazriq Razif Bakal Ikut Jejak Bapa

Muhammad Fazriq Razif

'BAPA borek, anak rintik', itulah perumpamaan yang sesuai ditujukan kepada Muhammad Fazriq Razif.

Mungkin nama itu masih janggal bagi peminat sukan badminton tanah air, sebaliknya jika disebut Datuk Razif Sidek sudah pasti satu dunia mengenalinya.

Razif antara legenda badminton tanah air yang pernah meraih pingat gangsa ketika beraksi di Sukan Olimpik Barcelona tahun 1992.

Nyata darah sukan badminton yang mengalir dalam badannya tidak terhenti begitu sahaja walaupun beliau telah mengambil keputusan menggantung raket sebagai pemain.

Hakikat ini dapat dilihat apabila Muhammad Fazriq mendekati acara ini.

Menurut Muhammad Fazriq yang berusia 13 tahun, dia mula mendekati sukan ini apabila selalu melihat bapanya bermain badminton sejak dia berusia lima tahun.

Minatnya itu diteruskan dengan serius dengan menyertai beberapa kejohanan sirkit kebangsaan termasuk menjuarai Sirkit Kebangsaan Bawah 14 Tahun baru-baru ini.

Malah kini dia merupakan pemain salah sebuah kelab badminton terkenal, Maharani Badminton yang turut bersaing dalam Junior Purple League (JPL2017) dalam acara beregu yang kini sedang berlangsung.

Biarpun masih baharu bergelar pemain badminton, Muhammad Fazriq sudah pun mempunyai sasaran peribadinya yang tersendiri dan tidak mustahil satu hari kelak impiannya itu menjadi realiti.

"Sasaran saya untuk bermain pada Sukan Olimpik dan meraih pingat emas untuk negara. Selain itu saya ingin menyertai lebih banyak kejohanan di peringkat dunia," ujarnya yang mahu meraih sebanyak kemenangan pada JPL tahun ini.

Muhammad Fazriq yang meraih dua kemenangan berturut-turut untuk kelabnya musim ini mengakui kejohanan ini amat penting untuk mengasah bakatnya.

"Saya pemain paling muda dalam kelab ini. Sudah tentu ramai pemain senior yang dapat membantu saya menambah pengalaman.

"Walaupun bermain dalam acara beregu, sebenarnya saya lebih berminat untuk acara perseorangan. Dengan itu juga saya mensasarkan untuk mewakili negara dalam acara perseorangan untuk kejohanan besar."

Sementara itu, jurulatih kelab, Yap Kim Seng mendedahkan bahawa Muhammad Fazriq mempunyai bakat yang luar biasa.

"Dengan latihan dan tunjuk ajar yang betul, dia bakal mempunyai masa depan yang cerah.

"Pada pemerhatian saya ketika Grand Prix Akhir di Terengganu baru-baru ini, dia mempunyai semangat perjuangan yang tinggi untuk merebut trofi.

"Mungkin kekurangan dari segi saiz fizikal, tetapi itu tidak menjadi masalah besar kerana dia masih muda dan masih ada masa untuk membesar.

"Malah dalam kelab ini juga dia yang paling muda, tetapi seorang yang sangat matang," jelasnya.

Anak Razif Sidek

Artikel Sebelum

Abdul Latif Pertahan Emas

Artikel Berikut

Artikel Lain