TIEMOUE Bakayoko berada dalam keadaan ok selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari menjalani sesi latihan, kata rakan sepasukannya, Michy Batshuayi. Lokasi kemalangan membabitkan kereta yang dipandu Bakayoko berlaku kira-kira lima minit dari kompleks latihan Chelsea di Surrey. Foto kereta jenis Merceders G63 AMG SUV miliknya dilihat masuk ke dalam kawasan semak dan cermin bahagian hadapan retak menjadi tular di media sosial. Polis Surrrey mengesahkan insiden tersebut. "Polis dikejarkan ke lokasi kejadian kira-kira pukul 4.40 petang selepas menerima panggilan kecemasan membabitkan sebuah kenderaan. "Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan," demikian menurut kenyataan Polis Surrey. Batshuayi mengesahkan Bakayoko dalam keadaan ok selepas insiden pada Khamis itu. Diminta mengulas mengenai kesihatan Bakayoko, Batshuayi berkata rakannya itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Insiden itu berlaku selepas adik Bakayoko, Namory memberitahu pemain tengah Chelsea itu masih menyesuaikan diri dengan cara pemanduan di England. "Tiemoue beritahu saya dia tidak membenarkan dirinya untuk memandu kerana merasakan pelik untuk memandu di sebelah kiri. Namun dia terpaksa memberanikan dirinya," kata Namory.