suria

Raja Lompat Jauh Dunia Mudah Tuai Emas

KUALA LUMPUR: Raja lompat jauh para dunia, Abdul Latif Romly menepati sasaran meraih emas pada Sukan Para Asean di Stadium Bukit Jalil, Jumaat.

Atlet kelahiran Kampung Paya Kelubi, Perlis berusia 20 tahun itu merakam lompatan terbaik pada percubaan pertama dengan 7.41 meter.

Lompatan keduanya mencatatkan jarak 7.26 meter, diikuti lompatan keempat 7.25 meter dan kelima 7.19 meter. Lompatan ketiga dan keenamnya batal.

Bagaimanapun, catatan tersebut gagal memperbaharui rekod lama kejohanan iaitu 7.43 meter.

"Alhamdullilah gembira dapat pertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut selepas Myanmar, Singapura dan kini di Kuala Lumpur. Memang saya yakin untuk raih pingat emas tetapi apa yang saya sasarkan untuk perbaiki rekod peribadi.

"Lebih gembira hari ini apabila Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail), Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan), keluarga yang dari semalam (Khamis) hadir melihat saya dan penyokong-penyokong lain. Hadiah ini untuk mereka semua," jelas Latif selepas pertandingan.

Tambah anak muda tinggi lampai itu, dia mengakui tidak dapat melakukan lompatan yang lebih baik lagi apabila terasa sakit di bahagian kecederaan lamanya.

"Ada rasa sakit di buku lali tadi. Kecederaan lama. Namun saya dapat juga mencatat yang terbaik.

"Lepas ini jurulatih akan bagi rehat sekejap sebelum menyambung sesi latihan bagi persiapan Sukan Asia (Indonesia) tahun depan," katanya.

Sementara itu, pingat perak dimenangi pencabar terdekatnya dari Singapura, Suhairi Suhani dengan jarak 6.85 meter.

Seorang lagi atlet negara, Zulkifly Abdullah merangkul pingat gangsa selepas melakukan lompatan terbaik pada percubaan kelima iaitu 6.51 meter.

Latif terus mengekalkan rekod terbaik dalam acara kategori T20 (masalah pembelajaran) ini selepas dua bulan melakar gelaran dunia pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London dengan rekod 7.60 meter.

Tahun lalu dia turut meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik di Brazil.

Sukan Para

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain