PARIS Saint-Germain (PSG) yakin dapat mencapai pra persetujuan dengan bintang Arsenal, Alexis Sanchez mengenai potensi untuk menyertai kelab itu secara percuma pada musim panas akan datang. Kelab gergasi Perancis itu mengadakan perbincangan dengan Sanchez pada Ogos lalu tetapi bintang Chile itu memilih untuk menyertai Manchester City. Namun dia terpaksa berputih mata apabila perpindahan ke Etihad tidak menjadi kenyataan pada saat akhir. PSG dilaporkan sanggup menawarkan sembilan juta pound sterling terhadap Sanchez untuk berhijrah ke Perancis. Menurut El Mecurio, PSG yakin hubungan rapat Sanchez dengan Dani Alves akan membantu memudahkan perpindahan tersebut. Pep Guardiola masih berminat terhadap Sanchez tetapi City perlu menyamai bidaan yang ditawarkan PSG terhadap pemain sayap itu. Arsene Wenger enggan melepaskan Sanchez secara percuma dan tidak akan melayan sebarang tawaran terhadap pemain itu pada Januari depan. The Gunners sanggup melepaskan Sanchez ke City pada Ogos lalu tetapi gagal memuktamadkan perpindahan Thomas Lemar dari Monaco sekali gus terpaksa menyekat penghijrahan bintang Chile itu.