suria

Status Annuar Dibincang Lepas Liga Super

PETALING JAYA: Kedudukan Tan Sri Annuar Musa selaku penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hanya akan ditentukan selepas berakhirnya kempen Liga Super musim ini.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata buat masa ini beliau hanya mahu memberi tumpuan pada baki dua perlawanan terakhir yang perlu diharungi skuad The Red Warriors (TRW).

"Saya nak fokus perlawanan malam ini. Lepas itu baharulah kita akan putuskan mengenainya," katanya kepada mStar Online.

Kelantan akan bertemu PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam Rabu sebelum berkunjung ke Stadium Hang Jebat menentang Melaka United pada 21 Oktober depan untuk aksi penutup tirai Liga Super musim ini.

Jelas pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu itu, perkara tersebut juga perlu dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kafa yang akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Bibi mencipta sejarah apabila muncul wanita pertama dipilih menerajui Kafa pada 17 September lalu.

Malah, katanya, nasib bekas presiden Kafa itu juga bergantung kepada hasil mesyuarat tersebut.

"Itu kena tunggu mesyuarat Exco dan keputusan mengenainya terletak pada Exco (Kafa). Kita tunggu mesyuarat nanti," katanya.

Pada Januari lalu, Kafa melantik Annuar sebagai penasihat persatuan itu berkuat kuasa serta-merta atas persetujuan bersama barisan jawatankuasa badan induk bola sepak negeri itu.

Faktor utama pemilihan Annuar didorong sumbangan beliau membangunkan bola sepak negeri dan kejayaan melonjakkan nama TRW sepanjang tempoh menerajui persatuan itu.

Namun timbul kurang senang dalam kalangan penyokong bola sepak Kelantan yang mempersoalkan status Annuar meskipun Kafa kini diterajui kepimpinan baharu pada 17 September lalu.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan mereka yang tidak mahu Kafa mempunyai kaitan dengan bekas presiden paling lama menerajui badan induk bola sepak negeri itu.

Bibi Ramjani Ilias Khan, Kafa

Artikel Sebelum

Mourinho Berang

Artikel Berikut

PSG Guna Alves Pujuk Sanchez

Artikel Lain