MANCHESTER United mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat bintang Liverpool, Emre Can selepas mendapat laporan memberangsangkan daripada ketua pencari bakat pasukan itu mengenai pemain tengah tersebut. Kontrak pemain kebangsaan Jerman itu akan berakhir pada musim panas akan datang. Malah Can dilaporkan kurang berminat untuk menandatangani kontrak lanjutan di Anfield sekali gus memberi risiko kepada Liverpool bakal kehilangannya secara percuma. Menurut laporan Tuttosport, Jose Mourinho berhasrat untuk memperkukuhkan barisan tengah United pada Januari depan. Ketua pencari bakat United, Javier Ribalta sering memantau Can secara dekat dan sedang memujuk pasukan itu untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut. Difahamkan Liverpool enggan melepaskan Can ketika jendela perpindahan pemain dibuka semula Januari depan. Juventus turut berminat terhadap pemain berusia 23 tahun itu. United amat memerlukan pemain tengah baharu memandangkan Michael Carrick dan Ander Herrera akan tamat kontrak masing-masing pada hujung musim ini. Sementara itu, Can berkata dia tidak melengahkan usaha untuk memperbaharui kontraknya bersama The Reds semata-mata kerana wang. "Saya terbaca ia kerana wang tetapi sebenarnya tidak," kata Can.