IPOH: Bekas pemain Perak, Khalid Jamlus (gambar) mengakui berminat untuk menabur bakti dalam barisan kejurulatihan skuad The Bos Gaurus sekiranya mendapat tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa). Beliau berkata pengalaman beraksi sebagai pemain negeri dan negara sedikit sebanyak boleh membantu Perak menggilap bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan dalam kancah bola sepak tempatan. "Bohonglah kalau saya katakan tak mahu balik ke Perak. Sebagai salah seorang pemain yang pernah menyarung jersi Perak, bangga rasanya kalau dapat kembali menjadi antara sebahagian individu yang membantu melonjakkan lagi mutu bola sepak Perak," katanya kepada Bernama di sini, Ahad. Pada 6 Oktober lalu, Khalid melalui laman Facebooknya menyatakan kesediaan untuk membantu Perak melahirkan pemain-pemain bintang seperti V. Saravanan, M. Nagarajah, Abu Bakar Fadzim dan Syamsul Saad. Khalid yang pernah menjulang Piala Malaysia bersama Perak pada 2000, turut menyatakan bahawa keinginan membantu skuad The Bos Gaurus itu juga bersifat peribadi tanpa didorong oleh mana-mana pihak termasuk penyokong. Mengulas aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Ipoh pada 15 Oktober ini, beliau berkata pemain kedua-dua pasukan perlu fokus dengan taktikal yang dirancang jurulatih. Khalid berkata kelebihan Perak selaku tuan rumah juga harus digunakan sebaiknya dalam mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin untuk aksi separuh akhir kedua pada 21 Oktober. "Bagi saya, pemain kedua-dua pasukan perlu elak daripada membuat kesilapan mudah dan fokus untuk mencari gol awal Kalau berjaya (mendapatkan gol awal), pastinya pasukan berkenaan akan meraih kemenangan," katanya.