ANTONIO Conte mendedahkan bahawa keluarganya turut terlibat dalam apa sahaja 'drama' berkaitan Chelsea musim ini berikutan perpindahan mereka ke England. Isteri Conte, Elisabetta dan anak perempuannya, Vittoria kini tinggal dekat dengan tempat latihan kelab di Cobham selepas meninggalkan Itali pada musim panas dan pengurus The Blues ini mula memandu di United Kingdom buat kali pertama untuk membawa mereka makan di restoran. "Bagi saya sangat penting untuk keluarga tinggal bersama dengan saya, saya sangat gembira sekarang mereka ada dengan saya," kata Conte menjelang perlawanan menentang Crystal Palace, Sabtu. "Musim lalu, secara jujur, saya banyak menderita kerana apabila anda tiba di negara baharu dan anda keseorangan serta sedar bahawa keluarga anda tidak tinggal di sini, ia tidak mudah. "Kerja saya sama sahaja jika mereka berada di sini atau tidak, tetapi bagi keluarga saya ia sesuatu yang buruk kerana mereka berada sangat jauh, sebaliknya sekarang kami tinggal bersama dan berkongsi perasaan yang sama jika kami menang, seri atau kalah. "Musim lalu saya lebih suka tinggal di rumah atau mengambil teksi untuk pergi ke restoran, sekarang saya memandu sendiri dan kadang-kadang kami pergi ke London atau Kingston atau mencuba restoran baharu." -talksport