suria

Hafizh Syahrin Sah Sertai Petronas Sprinta Racing

Tiga pelumba SIC: Dari kiri Adam Norrodin, Hafizh Syahrin dan Ayumu Sasaki selepas sidang media perkongsian strategik antara Petronas dan SIC di Menara Berkembar Petronas pada Selasa. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah sah menyertai ‘Petronas Sprinta Racing', bermula musim depan.

Petronas Sprinta Racing, adalah sebuah pasukan baharu yang dibentuk di bawah kerjasama strategik antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), yang akan beraksi dalam kelas Moto2 dan Moto3.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali pada sidang media kerjasama strategik antara Petronas dan SIC, Selasa.

Selain Hafizh Syahrin, dua lagi pelumba Moto3 Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki yang beraksi dalam SIC Racing Team akan kekal bersama pasukan yang akan dikenali dengan Petronas Sprinta Racing.

Dalam pada itu, Razlan berkata pihaknya menetapkan indeks prestasi utama (KPI) yang tinggi untuk musim depan iaitu berada dalam kelompok lima teratas dalam kelas Moto2.

“Apa yang kita capai dalam perbincangan kerjasama strategik ini ialah objektif utama kita untuk memastikan Hafizh beraksi dalam kelas utama perlumbaan (MotoGP) pada 2019.

“Kita tetapkan KPI yang tinggi terhadap Hafizh pada musim 2018. Jika beliau berjaya capai kelompok lima teratas, peluang untuk beraksi dalam kelas MotoGP lebih cerah,” katanya.

Justeru, Razlan berkata pelbagai program telah diatur buat pelumba berusia 23 tahun itu termasuk latihan intensif sebelum musim baharu bermula.

Selain itu, Razlan berkata pihaknya juga telah menyediakan kemudahan termasuk menyediakan kru atas permintaan pelumba yang berasal dari Ampang itu.

Berhubung Adam pula, Razlan berkata sekiranya Hafizh Syahrin berjaya melangkah ke MotoGP, jaminan tempat dalam kelas Moto2 adalah miliknya.

“Untuk Adam kami mahukan beliau berada di kedudukan 10 teratas. Sudah tentu jika Hafizh mencapai sasarannya, maka tempat Moto2 berpotensi menjadi milik Adam,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai slot Moto2 yang hanya mempunyai seorang pelumba sahaja, Razlan berkata buat masa ini belum ada pelumba negara yang dilihat kompetitif untuk beraksi dalam Petronas Sprinta Racing.

“Buat masa ini, kedudukan kewangan kita adalah terhad dan tiada pelumba negara yang dilihat berpotensi.Untuk mendapatkan pelumba luar agak sukar ekoran syarat yang ditetapkan Dorna dan IRTA yang agak ketat,” katanya. - BERNAMA

Hafizh Syahrin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain