suria

‘Tetap Bersuara’

BEKAS pemain kebangsaan, Khalid Ali akan terus lantang menyuarakan pendapat mengenai bola sepak negara walaupun Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu individu sepertinya berehat daripada mengeluarkan kenyataan.

Menurutnya, dia langsung tidak terkesan dengan kata-kata Khairy sebaliknya menegaskan komen dan  tegurannya sebagai tanggungjawab terhadap sukan bola sepak negara.

“Saya kritik bukan kerana iri hati tetapi keprihatinan terhadap sukan bola sepak. Kami juga mahukan yang terbaik dilakukan bagi melihat Harimau Malaya sekali lagi mengaum di peringkat antarabangsa.

“Bola  sepak juga sudah menjadi darah daging saya dan tidak salah bagi saya melahirkan pendapat berdasarkan pengalaman saya dalam sukan ini puluhan tahun.

“Katalah apa sahaja. Muzium ke barang purba ke...Saya tetap akan berikan pendapat,” katanya.

Jelas Khalid lagi, dia juga menyuarakan pendapat dalam tempoh lama sejak 35 tahun lalu dan kebanyakannya boleh diterima dengan baik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kementerian ketika itu.

“Kalau diikutkan 35 tahun dulu Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Khairy mungkin baru berumur satu atau dua tahun. Masa itu saya sudah berikan pendapat mengenai bola sepak negara,” katanya dalam nada bergurau.

Justeru, Khalid mengharapkan rakan seperjuangannya yang masih aktif memberikan pendapat dapat terus berbuat demikian demi memajukan bola sepak negara.

“Pendapat ini sebenarnya sesuatu yang baik untuk membangunkan organisasi seperti FAM dan membangunkan mereka daripada tidur. Tetapi yang penting janganlah kritikan itu terlalu negatif.

“Saya percaya jika pendapat dan kritikan sebegini ada, kerja yang mahu dilakukan FAM dan kementerian terhadap Harimau Malaya berjalan  lancar,” katanya.

Sementara itu, Khalid turut mahu penyokong bola sepak negara terus memberikan kepercayaan kepada Tunku Ismail dan Khairy untuk memajukan bola sepak negara.

“Saya percaya dalam tempoh 10 tahun lagi kita mampu untuk cuba menyaingi Korea Selatan dan Jepun. Umpama kita sudah berada di ruang tamu mereka.

“Tetapi, untuk masa sekarang, kita teruskan menyokong mereka dan sekali sekala berikan pendapat,” katanya. - Sinar Online

Khalid Ali, Khairy Jamaluddin

Artikel Berikut

Koeman Luah Kekecewaan

Artikel Lain