suria

Koeman Luah Kekecewaan

LONDON: Ronald Koeman meluahkan kekecewaannya selepas dipecat sebagai pengurus Everton.

Bagaimanapun dia berterima kasih kepada pemain dan pegawainya di atas komitmen yang diberikan ketika beliau bersama kelab itu.

Pengurus dari Belanda itu dipecat malam Isnin, selepas Everton jatuh ke zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris susulan tewas 2-5 di tangan Arsenal, Ahad lalu.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pemain dan pegawai atas segala kerja dan komitmen diberikan sepanjang 16 bulan saya sebagai pengurus Everton.

"Saya juga mahu berterima kasih kepada (pengerusi) Bill Kenwright, (pemegang saham utama) Farhad Moshiri dan lembaga pengarah Everton kerana peluang diberikan untuk mengurus kelab hebat ini dan kepada peminat juga yang memberi sokongan padu selama ini.

"Secara peribadi, saya kecewa ketika ini tapi saya mahu mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan pada masa akan datang," kata Koeman menerusi akaun Twitternya.

Pengurus berusia 54 tahun itu yang menggantikan Roberto Martinez di Goodison Park, membelanjakan peruntukan besar bagi memantapkan pasukan itu ketika jendela perpindahan pemain Ogos lalu.

Namun Everton mencatat permulaan terburuk awal musim sejak 2005-2006.

Koeman muncul pengurus Liga Perdana ketiga disingkirkan musim ini, selepas Crystal Palace memecat Frank De Boer selepas hanya lima perlawanan dan Leicester City memecat Craig Shakespeare minggu lalu.

Ronald Koeman

Artikel Sebelum

‘Tetap Bersuara’

Artikel Berikut

Artikel Lain