MELAKA: Melaka United akan memberi fokus mendapatkan khidmat pemain pertahanan dan penjaga gol berwibawa dalam usaha memantapkan benteng pertahanan pasukan berkenaan menghadapi saingan Liga Super musim depan. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata benteng pertahanan Melaka United dilihat rapuh musim ini apabila bolos 49 gol, dengan dua gol setiap perlawanan, dan situasi itu meresahkan pasukan tersebut menjelang kempen liga berkenaan musim depan. "Apabila kita bolos dua gol dalam satu perlawanan sahaja, kita perlukan tiga gol untuk menang, ini suatu cara yang mustahil untuk kita terus bermain dengan berkesan dan meraih kemenangan demi kemenangan. Kita perlu cari jalan atasi masalah ini. "Kita memerlukan bajet sekitar RM17 juta untuk bawa masuk pemain berkualiti dan memberikan saingan pada musim depan, tetapi kita masih berbincang dengan teliti mengenai bajet ini," katanya. Beliau ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2017 sempena Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob ke-79 di Ayer Keroh di sini, Ahad. Mohd Yusoff berkata selain benteng pertahanan, Melaka United juga memerlukan pemain di bahagian tengah serta sayap.Mengenai hasrat skuad Hang Tuah itu mendapatkan khidmat penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, beliau berkata Melaka United dan Kelantan masih melakukan perbincangan tentang perkara tersebut. "Khairul Fahmi masih mempunyai baki kontrak dengan Kelantan (sehingga musim depan) dan kita kena lihat dahulu sama ada Kelantan sanggup melepaskan beliau atau tidak," katanya. Mohd Yusoff berkata Melaka United memerlukan pemain berpengalaman untuk memperkuatkan pasukan itu pada saingan Liga Super musim depan, selain dapat membimbing pemain muda. "Kita mahu pemain yang boleh bekerjasama dengan semua supaya kita dapat bermain sebagai satu pasukan," katanya.- Bernama