suria

Malaysia Tewas Lagi Kepada Korea Utara

Foto Facebook Football Association of Malaysia

BURIRAM: Kempen Malaysia pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019 berakhir dengan keputusan memalukan apabila tumpas menerusi jaringan sama 1-4 kepada Korea Utara yang beraksi lebih mantap di Stadium i-mobile, di sini malam Isnin.

Kekalahan tersebut adalah kedua buat Malaysia dalam tempoh tiga hari, selepas tumpas 1-4 kepada Korea Utara di stadium yang sama, Jumaat lepas.

Turun beraksi dalam keadaan tekanan, ketua jurulatih Malaysia Nelo Vingada membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama, dengan merehatkan beberapa pemain yang sering diturunkan di bangku simpanan, dan membariskan pemain muda dalam usaha mengelak berdepan satu lagi kekalahan.

Antara pemain yang direhatkan pada perlawanan malam Isnin adalah Fadhli Shas, yang diberi tugas selaku ketua pasukan pada perlawanan Jumaat lepas, dan S. Kunanlan yang masih mengalami kecederaan.

Safiq Rahim yang boleh beraksi pada perlawanan malam ini, selepas digantung satu permainan ketika pertemuan dengan Hong Kong sebelum ini, juga diletakkan sebagai pemain simpanan walaupun dijangka kembali memperkuatkan pasukan kebangsaan.

Malaysia bermula agresif di awal permainan sehingga memaksa Korea Utara memperkemaskan kawalan, namun sikap positif ditampilkan pemain negara tidak bertahan lama, sebaliknya anak buah Jorn Andersen kembali menguasai perlawanan.

Barisan pemain Korea Utara yang tinggi lampai dan memiliki fizikal yang lebih tegap, terus memberi tekanan terhadap pemain Malaysia, dan menerusi sepakan sudut, Kim Yu Song menanduk masuk bola untuk meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-15 Lima minit kemudian, Song menggandakan jaringan selepas menerima hantaran daripada sepakan sudut rakan sepasukan, dan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-44 untuk Korea Utara mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Menyedari mengalami kekalahan ketujuh sejak dilantik sebagai jurulatih skuad Malaysia pada  Mei lalu, Vingada membuat beberapa pertukaran pada separuh masa kedua dengan memasukkan pemain lebih berpengalaman, Fadhli Shas dan Safiq serta pemain sayap, Safawi Rasid.

Kemasukan ketiga-tiga pemain berkenaan tidak memberi banyak perubahan, dengan Korea Utara memperoleh gol keempat pada minit ke-78 menerusi Park Kwang Ryong, sebelum Safawi menghadiahkan gol sagu hati Malaysia pada minit ke-85. - Bernama

Artikel Sebelum

Keputusan Kelayakan Piala Dunia

Artikel Berikut

Artikel Lain