suria

Piala Asia B-19: Nepal Tewaskan Malaysia

'Bowler' pasukan kriket negara, Ammar Uzair Fakri (belakang) membantah kepada pengadil yang bertugas selepas bola kriket terkena badan 'batsmen' pasukan Nepal, Anil Kumar Sah (hadapan) ketika beraksi pada peringkat kumpulan A Kejohanan Kriket Piala Belia Asia (B19) di Bayuemas Ovalpada Selasa. Foto: Bernama

KLANG: Nepal hanya memerlukan kurang dua jam menewaskan tuan rumah, Malaysia dengan lapan wiket untuk mara buat pertama kali ke separuh akhir pada Kejohanan Kriket Piala Asia (ACC) Bawah 19 Tahun di Bayuemas Oval pada Selasa.

Dalam aksi Kumpulan A itu yang tertangguh kira-kira lima jam berikutan hujan lebat sehingga memaksa perlawanan dikurangkan kepada 24 Over berbanding 50 Over, Malaysia yang memulakan aksi hanya mencatat 45 larian sebelum terkeluar pada 15.3 Over, hasil balingan pemain Nepal, Sandeep Lamichhane yang menjatuhkan lima wiket.

Pemukul pertama, Anil Kumar Sah membantu Nepal memperoleh 48 larian sekali gus meraih dua mata berharga bagi pasukan berkenaan menempah tempat ke separuh akhir, selepas mengejutkan juara bertahan, India di venue yang sama, Ahad lepas.

Ia kekalahan ketiga bagi Malaysia selepas tewas teruk dengan 202 larian kepada India pada perlawanan pembukaan Jumaat lepas, dan 262 larian di tangan Bangladesh pada Isnin.

Malaysia tewas kesemua 12 perlawanan pada kejohanan itu yang mula diperkenalkan pada 2012.

“Nepal mempunyai tiga pembaling bertaraf dunia, sedangkan kita bergelut mendapatkan larian dan tidak dapat menduga balingan mereka. Sepanjang kejohanan ini, kita tewas kesemuanya dan beraksi pada masa yang tidak sesuai kerana tidak dapat menggunakan khidmat 11 pemain yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jadi, kita tidak dapat membariskan pemain yang bagus, namun pengalaman terbaik kepada pemain-pemain muda berusia bawah 16 tahun. Ketua pasukan Virandeep Singh sekali lagi membuktikan beliau berada di kelas berbeza berbanding pemain Malaysia lain dengan kemahirannya,” kata ketua jurulatih Malaysia Suresh Navaratnam kepada Bernama.

Jurulatih Nepal Binod Kumar Das, yang ternyata sangat gembira selepas mara buat pertama kali ke separuh akhir pada kejohanan itu dalam kalangan pasukan bukan berstatus negara ‘test', mahu anak buahnya terus meningkatkan prestasi untuk meraih keputusan lebih baik pada kejohanan berkenaan.

“Kita beraksi dengan baik dan mempamerkan kemampuan kita menentang pasukan lain. Kita menewaskan Malaysia, dan juga India buat pertama kali, serta hampir menewaskan Bangladesh,” katanya.

Juara bertahan tiga edisi berturut-turut, India pula gagal mara ke separuh akhir buat julung kali, selepas mengalami satu lagi kekecewaan apabila tumpas dengan lapan wiket kepada Bangladesh dalam satu lagi aksi Kumpulan A di Kelab Diraja Selangor di Bukit Kiara.

India adalah pasukan paling menyerlah selepas berkongsi kejuaraan bersama Pakistan pada edisi sulung kejohanan berkenaan pada 2012, sebelum berturut-turut menjuarai saingan tersebut bagi edisi 2013/2014 dan 2016.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan B di Kinrara Oval, Puchong, Afghanistan menempah tempat ke separuh akhir selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE)  dengan 134 larian/20 Over.Dalam saingan separuh akhir, Bangladesh akan menentang Pakistan, Khamis ini, manakala Nepal berdepan Afghanistan pada Jumaat.- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain