PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Skuad Bola sepak Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee akan memberi fokus kepada latihan taktikal menjelang aksi pembukaan Kumpulan C berdepan Iraq pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia B-23 2018, di Stadium Changshu, China 10 Januari ini. Beliau memaklumkan pemain sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk sekitar enam darjah celcius sebaik tiba di Nanjing, China, beberapa hari lepas dan yakin kesemua 23 pemain yang dipilih pada kali ini mampu melaksanakan tugas masing-masing. "Semua pemain berada dalam keadaan cukup baik kecuali Nik Akif Syahiran Nik Mat yang demam dan beliau dikecualikan daripada menjalani sesi latihan pertama kita di sini namun saya yakin 23 pemain yang dipilih mampu beraksi pada bila-bila masa.Tidak banyak akan saya ubah kecuali lebih banyak menekankan kepada aspek taktikal kerana kita tidak mempunyai banyak masa lagi untuk mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum menentang Iraq nanti," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp. Dalam pada itu, Kim Swee berkata beliau akan menggunakan aksi pemanas badan terakhir berdepan skuad B-23 Syria di Stadium Pusat Latihan Bola Sepak Jiangsu, Jumaat ini sebagai medan untuk menguji keserasian dalam kalangan pemain sebelum berdepan Iraq nanti. "Saya ingin melihat bagaimana kita bermain mengikut kekuatan kita sendiri dan menghalang Syria daripada melakukan serangan berbahaya ke pintu gol pasukan kita, namun pada masa yang sama kita dapat menguasai perlawanan," kata pengendali kelahiran Melaka itu. Skuad B-23 negara sebelum ini berkampung selama dua minggu di Mokpo, Korea Selatan untuk latihan intensif selain turut menyertai tiga aksi persahabatan yang menyaksikan mereka mencatat satu kemenangan dan dua keputusan seri. Selepas bertemu Iraq, Malaysia dijadualkan berdepan Jordan pada 13 Januari di venue yang sama sebelum melengkapkan aksi pusingan awal menentang Arab Saudi di Stadium Kunshan, selang tiga hari kemudian.Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada setiap empat kumpulan layak ke suku akhir.