ANTONIO Conte menegaskan Chelsea perlu ‘membeli’ sebelum membenarkan mana-mana pemain berpindah ke kelab lain. Jendela perpindahan pemain bakal dibuka bulan ini dan Conte percaya Chelsea perlu merekrut ramai pemain baharu. “Skuad kami tidak besar. Untuk musim ini, mustahil untuk menghantar pemain ke kelab lain secara pinjaman atau menjual seorang pemain jika kami tidak mengambil pemain lain,” ujar Conte. The Blues bakal bertemu dengan Arsenal pada Rabu dan pastinya pengendali dari Itali itu mahu mengutip mata penuh bagi merebut kembali kedudukan kedua liga. Dalam pada itu, Conte enggan mengulas status David Luiz selepas timbul spekulasi perpindahan. Luiz hanya beraksi satu perlawanan sahaja sejak Oktober lalu. Bagaimana pun punca dia jarang diturunkan kerana mengalami kecederaan di bahagian lutut. Namun Luiz dijangka akan bermain pada saingan Piala FA bertemu Norwich, Sabtu ini. “Saya gembira bekerjasama dengan pemain ini dan percayakan dia. Saya tidak nampak ada sebarang masalah,” ujarnya.