MANCHESTER United mengesahkan kelabnya telah mengikat Alexis Sanchez dari Arsenal sementara Henrikh Mkhitaryan pula berhijrah ke arah bertentangan. Menurut beberapa laporan media, kontrak selama empat tahun setengah yang ditandatangani oleh Sanchez bernilai £350,000 (RM1.9 juta) hingga £400,000 (RM2.2 juta) seminggu. Ia akan menjadikan bintang kelahiran Chile yang berusia 29 tahun itu menjadi pemain yang menerima bayaran tertinggi dalam Liga Perdana. Sanchez tidak lagi terikat dengan Arsenal pada penghujung musim dan menyertai United selepas Manchester City menarik diri daripada perebutan ke atas pemain tersebut. Sanchez menyumbat sebanyak 80 gol dalam 166 perlawanan sejak menyertai Arsenal setelah beralih dari Barcelona pada 2014. - Eurosport