suria

Pahang Mahu Julang Sekurang-kurangnya Satu Piala

Timbalan Presiden PBNP, Muhammad Safian (berdiri tengah) bersama pemain dan pengurusan pahang bergambar dengan penyokong setia pasukan pada majlis Memperkenalkan Pemain dan Pelancaran Jersi Pasukan Liga Super Pahang 2018, di Dewan Tun Abdul Razak. - Bernama

TEMERLOH: Skuad Pahang menyasarkan untuk merangkul sekurang-kurangnya satu piala kejuaraan pada cabaran Liga Super musim ini.

Timbalan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata sasaran itu dilihat realistik dengan peruntukan pengurusan sebanyak RM20 juta, sama seperti peruntukan musim sebelumnya.

"Sudah semestinya kita mahu muncul sebagai Juara Liga Super dan Juara Piala Malaysia...tetapi sekurang-kurangnya kita mahu membawa pulang satu daripadanya.

"Saya percaya misi ini boleh dicapai dengan barisan pengurusan, pemain tempatan dan import yang memiliki kemahiran serta semangat juang tinggi," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran tiga jersi baharu skuad Tok Gajah bagi musim 2018 di Dewan Tun Razak di sini, Ahad.

Turut hadir ialah Naib Presiden PBNP Datuk Seri Zamry Ramly, Pengurus Pasukan Datuk Sufian Awang dan Ketua Jurulatih Skuad Tok Gajah Dollah Salleh.

Pada majlis itu, Pahang juga memperkenalkan empat pemain import baharu iaitu Sergio Ezequil Unrein dari Argentina, Alex De Moraes Gomes (Brazil), Chan Vathanaka (Kemboja) dan Muhammad Safuwan Baharudin (Singapura) bagi kuota pemain import pemain Asean.

Dollah menjangkakan saingan musim ini agak sengit berbanding musim lalu apabila semua pasukan bersaing untuk menampilkan barisan terbaik mereka dan beliau percaya pasukan ini boleh memberikan saingan dalam Liga Super musim ini dengan barisan pemain yang bagus.

“Saya berharap dua tenaga import baharu, Sergio Ezequil Unrein dan Alex De Moraes Gomes dapat menemui rentak untuk membantu pemain import sedia ada seperti Mohamadou Sumareh memberikan cabaran kepada pasukan lain.

"Kehadiran pemain hebat seperti Chan Vathanaka juga diharapkan boleh memberi impak kepada pasukan, begitu juga dengan Safuwan Baharuddin," katanya.

Sementara itu, kapten pasukan Matthew Davies berkata beliau optimis mereka mampu mempamerkan persembahan cemerlang dengan adunan pemain baharu dan lama dalam pasukan.

Pada majlis itu, Pahang juga memperkenalkan tiga jersi baharu iaitu kuning untuk perlawanan di gelanggang sendiri, putih (gelanggang lawan) dan hitam (jersi ketiga). - Bernama

Skuad Pahang, Liga Super, BPNP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Penantian FAS Bakal Berakhir

Artikel Lain