suria

Penantian FAS Bakal Berakhir

Kevin Ramalingam

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) perlu menunggu esok (Isnin) sebelum dapat mengetahui stadium yang akan menjadi gelanggang rasmi pasukan itu bagi menghadapi Liga Malaysia musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, pihaknya telah menerima dokumen daripada FAS berkenaan stadium yang telah dipilih badan induk itu.

"Mereka (FAS) meminta untuk menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan Stadium KLFA Cheras, dan kita juga telah dapat dokumen berkaitan.

"Kita akan lihat terlebih dahulu dan keputusan kami akan maklumkan Isnin ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kemelut membabitkan gelanggang rasmi The Red Giants menjadi masalah besar buat FAS selepas permohonan untuk menggunakan Stadium Shah Alam dan Stadium Nasional Bukit Jalil tidak berjaya.

Ia sekali gus menyebabkan FAS perlu mencari alternatif lain sebelum liga bermula minggu depan.

Sementara itu, Kevin turut memaklumkan, syarat perlesenan kelab kemungkinan akan diperketat bagi mengelakkan masalah seperti isu stadium tersebut berulang sebelum liga bermula.

Menurutnya, masalah sama tetap terjadi setiap tahun menunjukkan tiada kesungguhan pengurusan pasukan untuk cuba menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

"Cadangan memperketat lesen ini bukanlah kerana isu membabitkan stadium sahaja seperti yang dihadapi Selangor, tetapi banyak lagi. Kita tidak nampak komitmen pasukan untuk menyelesaikan perkara asas sebelum saingan liga bermula.

"Padahal, isu stadium misalnya merupakan perkara yang perlu diselesaikan setiap tahun.

"Sepatutnya isu asas sebegini perlu difikirkan pengurusan apabila liga berada di tengah saingan dan bukan pada penghujung saingan dan apabila liga musim baru hendak bermula," katanya.

Selangor, FAS, FMLLP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain