IPOH: #Theboswillreturn menjadi semangat baharu buat pasukan bola sepak Perak bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim ini. Dengan sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala dan berada di kedudukan tiga teratas liga, skuad The Bos Gaurus dipersiapkan dengan barisan pemain ternama termasuk pemain kebangsaan. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mahu, setiap pemain mengambil semangat itu untuk menunjukkan prestasi permainan yang cemerlang. Menurutnya, dengan disiplin dan kesungguhan tinggi, sasaran ditetapkan tidak mustahil untuk dicapai. "Perak berada di tangga tercorot untuk beberapa tahun lalu, namun menunjukkan kebangkitan semula dan mencapai di tempat kelima dalam saingan liga. "Saya yakin dengan persiapan dibuat, kemampuan pemain import yang dipilih serta potensi besar pemain tempatan, Perak mampu memberi cabaran sengit kepada pasukan lawan," katanya sempena Majlis Pelancaran Jersi Musim 2018 di Dataran Amanjaya, Meru raya, malam ini. Zambry turut menggesa, peminat bola sepak negeri ini untuk terus memberikan sokongan meskipun pada saat pasukan berdepan kekalahan. "Jika ada sedikit masalah atau kecundang dalam satu dua perlawanan, jangan terus menghentam, kita kena terus beri semangat agar pasukan dapat bangun dan menyerang," katanya. Bagi musim kali ini, Perak menerima tajaan daripada Lembaga Air Perak (LAP), State Secretary Incorporated (SIS), Quest International University selain Al Ikhsan yang menjadi penaja rasmi jersi pasukan Perak.-Sinar Harian