suria

Tidak Menjadi - Marcote

Pemain-pemain Perak meraikan kejayaan menewaskan Kedah dengan jaringan 3-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Rabu malam.

MALAM tidak menjadi buat Kedah apabila perancangan yang cuba dilaksanakan pengendalinya, Ramon Marcote tidak membuahkan hasil.

Tidak cukup dengan itu, skuad tuan rumah turut tewas 1-3 kepada Perak ketika beraksi buat pertama kali di Stadium Darul Aman.

Marcote memberitahu, rentak permainan Kedah pada babak pertama sememangnya tidak seperti yang direncanakan sehingga Perak berjaya menggunakan kesempatan itu untuk mendapatkan jaringan pertama.

"Semasa rehat, kita cuba perbaiki kelemahan yang ada untuk lebih menekan pertahanan lawan dan mencari gol penyamaan.

"Hasilnya kita berjaya mendapatkan sepakan penalti yang disudahkan oleh Sandro Da Silva selepas Akhyar Rashid dijatuhkan di depan kotak penalti.

"Selepas itu kita lebih menekan pertahanan lawan untuk mencari jaringan kemenangan, tetapi Liridon Krasniqi pula dilayangkan kad merah.

"Kehilangan seorang pemain itu telah mengubah formasi kita. Saya terpaksa menggunakan tiga pertahanan untuk cuba memenangi perlawanan namun ia tidak menjadi," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Pemain import Perak Leandro Dos Santos Oliveira terjatuh diasak oleh pemain Kedah Mohd Rizal Mohd Ghazali pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Rabu malam.

Ketua jurulatih Kedah dari Sepanyol itu bagaimanapun  enggan menuding jari ke arah pemain berikutan kekalahan tersebut kerana baginya mereka telah melakukan yang terbaik untuk memenangi permainan berkenaan.

Jelasnya, kesemua pemain telah berusaha sepanjang permainan untuk mencatatkan kemenangan dan usaha mereka patut dipuji.

"Pada masa sama kita turut kehilangan dua pemain pertahanan iaitu Khairul Helmi Johari dan Alvaro Silva kerana kecederaan," ujarnya.



Marcote, Perak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain