IPOH: Skuad negara gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tewas 1-5 kepada India pada aksi keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah pada aksi Rabu malam. Kekalahan itu sekali gus menyaksikan pasukan negara yang kini mengumpul enam mata, gagal memintas Argentina di kedudukan kedua dengan kutipan tujuh mata, selepas pasukan berkenaan seri 1-1 menentang England, pada aksi sebelah petang. Corak permainan tangkas dipamerkan pasukan India ini, nyata memberi kelebihan kepada skuad kendalian Sjoerd Marijne itu untuk berada di hadapan menerusi percubaaan menarik hasil larian dan lorongan beberapa pemain dari luar kotak penalti. Keadaan kelam-kabut di bahagian benteng pertahanan skuad kebangsaan akhirnya menyaksikan penyerang muda India, Shilanand Lakra berjaya menewaskan penjaga gol Malaysia, Muhammad Hafizuddin Othman, seawal minit ke-10. Tersentak dengan jaringan pembukaan pasukan pelawat itu, skuad Malaysian Tigers pantas bangkit menggandakan asakan dan kembali menguasai perlawanan, namun benteng pertahanan India begitu kebal menyekat percubaan demi percubaan dilakukan pemain negara. Bersambung babak kedua perlawanan, asakan demi asakan ditampilkan pemain negara membuahkan hasil apabila memperoleh gol penyamaan menerusi penyerang prolifik, Faizal Saari pada minit ke-33, melalui pukulan sudut penalti. Kedudukan itu, bagaimanapun tidak bertahan lama, dan India hanya memerlukan sembilan minit kemudian (minit ke-42) untuk meraih gol kedua menerusi penyerang Gurjant Singh yang melakukan pukulan kencang menerjah gawang Malaysia. Malaysia berusaha memperkemaskan barisan serangan, namun India menambah derita pasukan tuan rumah menerusi Sumit Kumar pada minit ke-48, berpunca daripada satu hantaran lintang ekoran kesilapan benteng pertahanan negara. India terus menguasai permainan dan menambah dua lagi gol, masing-masing menerusi Ramandeep Singh (minit ke-51) hasil gol padang serta Gurjant (minit ke-57) melalui pukulan sudut penalti, dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat. Sementara itu, jurulatih skuad negara Stephen Van Huizen kecewa dengan aksi dipamerkan anak buahnya itu, dan mahu mereka menebus kekalahan tersebut pada perlawanan seterusnya.Malaysia dijadual menentang England, Jumaat ini.- Bernama