BRISBANE: Hasrat pelumba wanita trek negara Fatehah Mustapa untuk menamatkan saingan pada Sukan Komanwel 2018 dalam kedudukan podium berakhir apabila tewas di peringkat suku akhir dalam acara pecut wanita pada Jumaat. Dalam acara berlangsung di Anna Meares Velodrome di sini, Fatehah yang mencurahkan segala kudrat pada pusingan kedua, bagaimanapun gagal meneruskan kayuhan cemerlangnya itu apabila tumpas 0-2 kepada Natasha Hansen dari New Zealand. Terdahulu, pelumba negara berusia 29 tahun itu mempamerkan kayuhan memberangsangkan untuk menduduki tempat ke-11 dalam sesi kelayakan, selepas mencatat 11.142 saat. Pelumba kelahiran Terengganu itu menewaskan Rachel James dari Wales pada pusingan kedua, sekali gus mara ke suku akhir untuk berentap dengan Hansen. Fatehah bagaimanapun masih bersemangat untuk meneruskan perjuangan dalam dua lagi acara yang disertainya. "Selepas kalah pusingan pertama, jurulatih John Beasley memasang strategi agar saya memulakan perlumbaan dari belakang dan membuat pecutan di pusingan akhir. Semasa tinggal satu lagi pusingan, saya memang yakin dapat menewaskan Natasha tapi apa boleh buat, rezeki bukan milik saya. "Perkara ini biasa berlaku dalam perlumbaan sebegini. Ada kalanya kita menang, ada kalanya lawan kita menang. Apa yang penting, saya hendak teruskan perjuangan untuk acara seterusnya, 500m ujian masa esok dan keirin pada Ahad," katanya kepada Bernama. Pelumba kelahiran Terengganu itu, berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi dan kayuhannya hari ini dan mengakui semakin bersemangat untuk meneruskan perlumbaan dalam dua lagi acara. "Saya harap dapat menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat terutama dalam acara keirin. Itu sasaran saya. Untuk acara 500m ujian masa, saya akan cuba buat yang terbaik, mana tahu esok nasib saya lebih bagus daripada sebelum ini," katanya. Seorang lagi pelumba Malaysia, Farina Shawati Mohd Adnan juga mara ke pusingan kedua setelah menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ke-15 selepas melakukan catatan masa 11.585s. Bagaimanapun, Farina Shawati gagal meloloskan diri ke suku akhir apabila tumpas kepada Lauriane Genest dari Kanada.