suria

Amy tebus kesilapan raih gangsa

KUALA LUMPUR: Gimnas berirama negara, Amy Kwan Dict Weng bangkit menebus kekecewaan semalam, dengan meraih pingat gangsa pada Kejohanan Gimnastik Berirama Asia 2018, yang berakhir pada Rabu.

Pada kejohanan berlangsung di Axiata Arena itu, menyaksikan gimnas berusia 23 tahun itu memenangi pingat gangsa dalam apparatus reben individu setelah mengumpul 13.700 mata.

Pingat emas acara berkenaan dimenangi Alina Adilkhanova dari Kazakhstan dengan kutipan 16.250 mata, manakala gimnas China Shang Rong meraih perak selepas mengumpul 14.450 mata.

“Saya benar-benar tidak jangka memenangi pingat kerana pungutan mata saya tidak berapa baik. Selepas menamatkan rutin, saya tidak tahu prestasi gimnas lain. Apabila mereka beritahu saya memenangi pingat gangsa, saya terkejut.

“Jumlah mata yang saya peroleh tidak terlalu tinggi. Dalam apparatus lain, peserta lain meraih sekitar 15.0 atau 16.0 mata. Dengan jumlah 13.700 mata, ia agak rendah," kata Amy.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu berkata dia tidak meletakkan harapan tinggi pada kejohanan berkenaan.

“Selepas Sukan Komanwel, saya hanya rehat dua hari bagi membuat persiapan untuk kejohanan ini dan dengan kecederaan pada pergelangan kaki kiri, saya tidak memaksa diri saya untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Selain Amy, Rayna Hoh Khai Ling meraih pingat gangsa keduanya dalam kategori remaja.Walaupun berasa letih, gimnas berusia 15 tahun itu mampu mempamerkan prestasi membanggakan.

“Saya berasa penat dan sedikit lesu. Saya tidak menyasarkan meraih pingat dalam sebarang apparatus hari ini. Saya hanya melakukan terbaik  untuk mendapatkan keputusan yang baik. Sebelum memasuki gelanggang, saya tidak mempunyai banyak masa membuat latihan bagi rutin saya ini,” kata  Rayna, yang berjaya layak ke final dalam kesemua empat apparatus individu.

Dalam saingan hari ini, beliau meraih pingat gangsa dalam apparatus belantan individu final dengan memperoleh 14.150 mata.

Pingat emas dimenangi Sabina Bakatova dari Kazakhstan yang mengutip 14.900 mata, manakala Ekatarina Fetisova dari Uzbekistan memenangi perak dengan kutipan 14.700 mata.

Pelajar Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas itu memenangi pingat gangsa dalam acara all-around individu, semalam.Selepas empat hari kejohanan, gimnas Malaysia memenangi empat pingat gangsa.-Bernama

Amy Kwan Dict Weng, Gimnastik

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain