suria

Piala AFF Suzuki: Malaysia pasukan 'underdog' - Cheng Hoe

PETALING JAYA: Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe berharap skuadnya tampil dengan semangat baharu menjelang Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung November depan.

Skuad Harimau Malaya diundi bersama bekas juara 2008 Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Loas.

"Sebagai jurulatih baharu skuad Malaysia, kami adalah pasukan 'underdog' pada kejohanan kali ini.

"Sudah pasti ini adalah peluang untuk pemain muda menambah pengalaman.

"Kami akan mengambil satu per satu perlawanan dan harap pemain dapat beraksi dengan baik," ujarnya selepas cabutan undi kumpulan yang berlangsung di Jakarta pada Rabu.

Dalam pada itu, Cheng Hoe yang dilantik sebagai pengganti Nelo Vingada pada Disember lalu tidak memandang rendah kepada pasukan lain.

"Dalam kumpulan kami, Vietnam dianggap pasukan pilihan. Dan tidak lupa juga, Myanmar yang mara ke separuh akhir pada edisi dua tahun lalu.

"Jadi saya harap pemain tidak terlalu tertekan dan boleh bermain dengan baik," tambah pengendali kelahiran Kedah berusia 50 tahun ini.

Kejohanan tersebut akan berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember 2018 dengan disertai 10 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Selain itu, edisi tahun ini juga akan menyaksikan sistem round-robin iaitu setiap pasukan akan beraksi dua perlawanan di gelanggang sendiri dan dua perlawanan di tempat lawan terlebih dahulu sebelum dua pasukan teratas dari kedua-dua kumpulan layak ke peringkat separuh akhir secara timbal balik.

Pada edisi 2016, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan apabila mencatat keputusan satu kemenangan dan mengalami dua kekalahan.

Keputusan penuh undian kumpulan:

Kumpulan A: Vietnam, Malaysia, Myanmar, Kemboja dan Laos

Kumpulan B: Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei/Timor Leste

Tan Cheng Hoe, Harimau Malaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain