EDINSON Cavani menegaskan dia tiada niat untuk meninggalkan Paris Saint Germain (PSG) pada musim panas ini meskipun dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea bagi menggantikan Alvaro Morata. Bintang kebangsaan Uruguay itu menjaringkan sepakan penalti ketika PSG mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Les Herbiers, awal pagi Rabu pada aksi final Piala Perancis. Cavani masih mempunyai kontrak bersama PSG sehingga 2020. "Masa depan saya di sini, sudah tentu. Saya fikir saya ada sebab yang bagus untuk kekal di sini. "Kita perlu menikmati setiap momen seperti ini. Saya amat berbangga dengan penyokong dan juga teruja berada di sini. "Empat kali berturut-turut menang Piala Perancis mewakili banyak sejarah untuk PSG. Kami berada di sini untuk menang banyak trofi demi kelab," katanya. Morata bergelut dengan prestasi tidak menentu susulan kecederaan belakang yang dialaminya. Antonio Conte bagaimanapun mengesahkan Morata sihat untuk perlawanan menentang Huddersfield pada Rabu. "Saya tidak mahu komen mengenai spekulasi. Ia tidak benar dan kami hanya fokus untuk menamatkan saingan musim ini dengan cara terbaik. "Dia pemain Chelsea dan perlu bersedia diturunkan pada esok dan musim depan. Situasi amat jelas," kata Conte.