suria

PKNS FC teruskan rentak kemenangan

Pemain PKNS FC Azmizi Azmi (kanan) beraksi menampan bola dengan kaki pada Perlawanan Suku Akhir Kedua Piala FA Perak bertemu PKNS FC di Stadium Perak malam Ahad. - Bernama

KUALA LUMPUR: Kelab PKNS FC melonjak satu anak tangga ke kedudukan keempat Liga Super selepas menang tipis 3-2 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, Ahad malam.

Kemenangan kelima tersebut membolehkan skuad Semut Merah mengumpul 15 mata setelah beraksi 10 perlawanan setakat ini.

Tiga gol PKNS FC pada perlawanan berkenaan dijaringkan oleh kapten pasukan, Mohd Safee Sali  menerusi sepakan penalti seawal minit ketujuh perlawanan, gol padang Muhammad Faris Ramli pada minit ke-38 dan sepakan penalti Jonatan Leonel Acosta pada minit ke-51.

Pasukan pelawat berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi pemain import dari Uzbekistan, Bobirjon Akbarov seawal minit kelima perlawanan dan penyerang sensasi dari Brazil, Guilherme de Paula pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Pasukan Kedah turut meraih tiga mata penuh setelah mengatasi Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. 

Skuad Lang Merah selesa mendahului 2-0 pada separuh masa menerusi jaringan pemain import dari Kosovo, Liridon Krasniqi seawal minit ketujuh perlawanan dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-15.

Negeri Sembilan merapatkan defisit jaringan hasil sentuhan penyudah pemain import dari Brazil, Flavio Beck Junior pada minit ke-75.

Dalam pada itu, pasukan tercorot liga, Pulau Pinang terus dirundung malang setelah tewas 1-0 kepada Sarawak pada aksi tunggal Liga Premier di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain import dari Croatia, Mateo Roskam pada minit ke-44. - Bernama

PKNS FC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain