BANGKOK: Skuad Piala Thomas negara yang muncul sebagai naib juara Kumpulan D akan bertemu dengan musuh tradisi, Indonesia dalam saingan suku akhir di Impact Arena, Khamis. Lawan Malaysia pada peringkat suku akhir itu ditentukan dalam undian yang dilakukan selepas berakhirnya perlawanan peringkat kumpulan lewat malam Rabu. Juara bertahan Piala Thomas yang juga juara Kumpulan D, Denmark diundi bertemu Kanada dalam pertemuan suku akhir, manakala Jepun bertemu Perancis manakala China pula akan bertemu Taiwan. Bagi Piala Uber pula, juara bertahan China akan bertemu Denmark manakala tuan rumah, Thailand akan bertemu dengan Indonesia, Korea Selatan menentang Kanada dan Jepun pula bertemu dengan Taiwan. -Bernama