PETALING JAYA: Tiga pemain Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) menerima jemputan untuk beraksi dalam kejohanan Bawah 13 tahun di Rome bersama kelab Perancis, Paris Saint Germain (PSG), bulan depan. Tiga pemain bertuah itu adalah Hazriq Haqqim Mohd Izham, Rohisham Haiqal Hashim dan Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon, masing-masing berusia 13 tahun. Perkara itu diumumkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerusi InstaStory beliau. Khairy memuat naik surat jemputan daripada PSG terhadap tiga pemain muda itu. Berdasarkan surat itu, ketiga-tiga mereka akan beraksi bersama pasukan B-13 tahun PSG dalam kejohanan di Rome pada 21 hingga 24 Jun depan. Menerusi surat itu juga, Pengarah Akademi PSG, Jean-Francois PIEN berkata kos penerbangan ketiga-tiga pemain itu akan ditanggung oleh PPBN. "Teruja untuk menunggu persetujuan daripada anda," demikian menurut surat jemputan yang ditulis Francois PIEN. Pada masa sama, Khairy turut meluahkan rasa bangga di atas berita gembira itu. "3 pemain @nfdpmalaysia dijemput untuk beraksi bersama PSG. Amat bangga dengan mereka!," katanya.