BANGKOK: Hasrat Malaysia untuk mencapai sasaran peringkat separuh akhir Piala Thomas tidak kesampaian apabila tersingkir di suku akhir selepas tewas 1-3 kepada musuh tradisi, Indonesia, di Impact Arena di sini, malam tadi. Malaysia memulakan percaturan dengan baik apabila jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menyuntik semangat pasukan negara dengan mengutip mata pertama apabila menundukkan pemain muda berusia 21 tahun, Anthony Ginting 21-19, 21-16. Bagaimanapun, beregu pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, gagal mengekalkan momentum kemenangan apabila Indonesia menebus kekalahan perlawanan pertama menerusi Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukomuljo. Beregu Indonesia itu menyamakan kedudukan dengan mengalahkan V Shen-Wee Kiong 21-19, 20-22, 21-13. Mata kedua Indonesia disumbang oleh pemain perseorangan keduanya, Christie Jonatan yang menundukkan pemain meningkat naik negara, Lee Zii Jia dalam pertarungan rubber set 21-15, 11-21, 21-13. Beregu kedua Indonesia, Alfian Fajar-Muhammad Rian Ardianto menutup peluang Malaysia untuk merampas Piala Thomas selepas 26 tahun apabila menghadiahkan mata kemenangan dengan mengalahkan beregu negara Aaron Chia-Teo Ee Yi 21-18, 10-21, 21-9. Indonesia, yang memenangi Piala Thomas sebanyak 13 kali dan kali terakhir pada 2002, akan bertemu China pada separuh akhir hari ini. Dalam satu lagi saingan separuh akhir, juara bertahan, Denmark akan menentang Jepun. Pada perlawanan suku akhir semalam, Denmark mengalahkan Korea Selatan 3-0, Jepun mengalahkan Perancis 3-1 dan China menewaskan Taiwan 3-0. - BERNAMA