suria

Maaf... kenyataan saya disalah ertikan

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan kecewa dengan tindakan beberapa laman Facebook bola sepak yang memanipulasi kenyataannya berkaitan penyokong The Red Warriors (TRW).

Malah beliau turut memohon maaf kepada penyokong yang terguris hati dengan kenyataan yang dimanipulasi itu.

Jelas Bibi, kenyataan beliau telah disalah anggap dan jauh tersasar daripada maksud sebenar berkaitan perkara itu.

"Itu hanya persepi wartawan di laman Facebook terbabit. Apa yang saya maksudkan sebenarnya sudah jauh tersasar.

"Kenyataan itu telah tular seolah-olah saya menyalahkan peminat sehingga ada yang menyunting gambar saya dengan kenyataan tersebut.

"Wartawan tersebut seolah-olah mencari jalan untuk memberi imej buruk terhadap Kafa dan kali ini mengeruhkan hubungan saya dengan peminat," katanya kepada mStar Online.

Bibi menjelaskan kritikan negatif penyokong terhadap pemain muda Kelantan ternyata memberi kesan kepada mutu permainan dan prestasi mereka.

"Saya kata mereka sepatutnya membantu menaikkan semangat dan menyokong pemain muda. Jika kritikan berterusan ia boleh menjadikan pemain gugup dan gagal mengekalkan prestasi mereka.

"Usia mereka yang masih muda amat memerlukan sokongan ramai dan bukannya didedahkan dengan kritikan yang tidak membina," katanya.

Menurut usahawan batik itu, laman Facebook terbabit sepatutnya menjadi jambatan menghubungkan Kafa dan penyokong dalam apa jua keadaan.

"Pada saya laman Facebook itu sepatutnya cuba menyatukan Kafa dan penyokong bukan menjadi tempat untuk bebas mengeluarkan kenyataan berbaur batu api.

"Pengurusan mana yang mahu melihat pasukannya terjerumus ke Liga Premier setelah segala usaha, masa, wang, tenaga dan kerjaya dikorbankan demi untuk meningkatkan imej bola sepak," katanya.

Bibi menegaskan beliau sudah cuba menjalin hubungan dengan penyokong TRW termasuk penyokong luar tetapi ia dikeruhkan dengan cerita 'kurang enak' untuk kepentingan individu tertentu.

"Hubungan ini dijejaskan menerusi cerita yang dieksploitasi di saat pasukan memerlukan sokongan padu penyokong," katanya.

Susulan itu, Bibi berharap agar tiada lagi timbul cerita 'kurang enak' yang sengaja dicetuskan individu tertentu untuk mengeruhkan lagi hubungannya dengan penyokong.

"Isu yang sengaja ditimbulkan untuk mencetuskan pergolakan antara Kafa dan penyokong akan merugikan pasukan.

"Marilah kita berganding bahu berusaha menaikkan kembali imej dan mutu pasukan," katanya.

Kafa, Bibi Ramjani, TRW

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain