suria

JDT hampiri kejuaraan Liga Super

Pemain JDT Corbin Ong (kanan) cuba mengelecek bola dari pemain Melaka Faris Shah Rosli (tengah) dan R. Surendran pada perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Hang Jebat malam Selasa. foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga selepas menang selesa 4-0 ke atas Melaka di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam Selasa.

Kemenangan ke-14 daripada 17 perlawanan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan terus melebarkan jurang mata dengan pencabar terdekat, Perak dengan kutipan 44 mata berbanding Perak yang meraih 31 mata.

Empat gol JDT dijaringkan Fernando Marquez pada minit ke-40, Fernando Elizari (minit ke-53), Muhammad Safawi Rasid (minit ke-64) dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada masa tambahan babak kedua perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan JDT menghampiri juara Liga Super buat musim kelima berturut-turut.

Sementara itu, Perak pula terus mengejar kedudukan JDT di puncak liga selepas menang tipis 1-0 ke atas pasukan tercorot, Kelantan, hasil sepakan penalti yang disempurnakan pemain import dari Brazil, Leandro Dos Santos pada minit ke-70 pada aksi di Stadium Perak, Ipoh.

Kedah pula memintas kedudukan Pahang di tangga ketiga selepas menewaskan kelab PKNS FC 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, hasil jaringan dua pemain import, Paulo Rangel pada minit ke-16 dan Andik Vermansah pada minit ke-40.

Pahang turun satu anak tangga ke kedudukan keempat liga setelah sekadar seri 1-1 berdepan Selangor di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Skuad Tok Gajah terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-48 menerusi jaringan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang membuat susulan setelah sepakan penalti Austin Amutu ditepis penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid.

Selangor, bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia del Burgo yang menyudahkan hantaran kapten pasukan, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-61.

Dalam saingan Liga Premier, Felcra FC mengekalkan kedudukan kedua liga setelah menang tipis 2-1 ke atas MIFA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

MIFA terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi jaringan Mohamad Zamri Pin Ramli pada minit ke-34 sebelum Felcra FC bangkit meraih gol menerusi Mohd Alif Samsudin pada minit ke-60 dan pemain gantian, Abdul Azim Rahim pada minit ke-73.

Terdahulu, MIFA terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain importnya dari Liberia, Kpah Sean Sherman dilayangkan kad merah oleh pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah kerana mengasari pemain pelawat pada minit ke-43.

Sarawak pula naik satu anak tangga ke kedudukan ketujuh liga selepas menang tipis 3-2 ke atas jiran tetangga, Sabah di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching.

Tiga gol skuad Bujang Senang dijaringkan Bobby Gonzales pada minit ke-15 dan ke-27 serta Mateo Roskam pada minit ke-36 manakala dua gol Sabah disumbangkan Maxsius Musa pada minit ke-25 dan Hector Omar Ramos Lebron pada minit ke-67. - BERNAMA

JDT, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Lain