PETALING JAYA: Subkhiddin Mohd Salleh mendedahkan pemain yang terkenal dengan simulasi (berpura-pura) sepanjang kempen Piala Dunia 2018. Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu bertugas di Rusia sejak 31 Mei lalu sebagai Instruktur Teknikal Pengadil di Moscow. Menurut Subkhiddin,51, sepanjang di sana dia perlu merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi pengadil, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding serta memberi maklum balas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan. "Tempat saya cuma di stadium, padang dan balik hotel membuat analisis setiap hari berkaitan dengan VAR (Video Assistant Referee). "Memang tidak dinafikan pada hari pertama kejohanan kelihatan agak kucar-kacir lagi dengan penggunaan VAR walaupun melibatkan pengadil hebat dunia. "Apabila mereka tahu ada VAR, mereka jadi malas. "Demi memastikan setiap hari ada perubahan yang lebih baik, semua pengadil perlu menjalani latihan melibatkan tiga bahagian atau padang. "Bahagian teknikal, kecergasan dan latihan di stadium seperti perlawanan sebenar. Di sini kami akan membuat gambaran aksi sebenar permainan dengan beberapa insiden yang berlaku seperti punca penalti, sepakan percuma atau layangan kad kepada pemain," jelasnya ketika ditemui mStar Online. Subkhiddin Subhkhiddin memberitahu, pada awal kempen pengadil dilihat seperti tidak ada keyakinan untuk membuat keputusan sendiri. "Sesetengah pengadil, mereka ada ego sendiri iaitu takut dikritik jika membuat keputusan salah dan mahu hanya bergantung dengan keputusan VAR. "Tetapi selepas itu, dengan latihan yang dibuat setiap hari, tahap keyakinan mereka semakin baik dan akhirnya menggunakan kebijaksanaan sendiri. "Mereka fokuskan bahawa VAR hanya pembantu mereka, dan keputusan di tangan sendiri. VAR terdapat dua bahagian, satu 'offline' dan satu online'. "Online boleh berinteraksi dengan pengadil. "Selain itu juga, kami mengadakan perjumpaan dengan pasukan iaitu TAM (Team Arrival Meeting) dengan memberi penjelasan mengenai penggunaan VAR. "Pasukan juga diberi taklimat dengan oleh pengadil mengenai perkara-perkara yang perlu dielakkan seperti, sentuhan, panduan mengelak daripada dilayangkan kad merah dan sebagainya secara langsung. "Ada juga pasukan yang mendengar dan mengikut arahan, ada juga yang hanya dengar tetapi masih buat," ujarnya. Mbappe dan Suarez (kanan). Mengenai pemain yang suka membuat simulasi cedera, Subkhiddin mengakui pasukan dari Eropah amat membencinya. "Kebanyakan pasukan dari Eropah menghormati bola sepak itu sendiri. Sebab itu jika ada pemain terutamanya dari pasukan Eropah yang buat simulasi (seperti Kylian Mbappe), mereka seperti tidak sukakannya kerana ia merosakkan bola sepak. "Ini juga cabaran kepada pengadil dalam mengendalikan sesuatu permainan. Cuma malanglah buat pemain, apabila kerap 'berlakon' pengadil tidak melayannya walaupun pemain itu benar-benar cedera. "Antara pemain yang diberi perhatian seperti Neymar (Brazil), Mbappe (Perancis) dan Luis Suarez (Uruguay). "Tetapi yang paling 'top' adalah Suarez," jelasnya.