suria

MOM, KBS tak bayar kos Nazif Najib ke Piala Dunia

Nazif Najib memuatnaik gambar menonton Piala Dunia di Moscow, Rusia di Facebooknya pada Ahad lalu. - foto Nazif Najib.

PETALING JAYA: Gambar anak lelaki bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohd Nazifuddin menyaksikan aksi final Piala Dunia di Moscow, Rusia menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen.

Rata-rata netizen mempersoalkan sama ada kunjungan beliau ke sana atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan kos perjalanannya ditanggung kerajaan.

Bagaimanapun persoalan itu akhirnya terjawab apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil menjelaskan perkara itu menerusi Twitternya.

Menurut Syed Saddiq, Mohd Nazifuddin pergi ke Rusia atas kapasiti peribadi dan kos perjalanannya dibiayai beliau sendiri.

"Saya telah buat semakan dengan MOM. Beliau pergi ke sana atas kapasiti peribadi.

"MOM dan KBS tidak bayar untuk kunjungan beliau itu," kata Syed Saddiq menjawab persoalan salah seorang pengguna Twitter @klubbkiddkl.

Tinjauan di ruang komen tweet tersebut mendapati netizen mendesak supaya Mohd Nazifuddin dipecat daripada jawatannya sebagai Setiausaha Agung MOM.

Pengguna Twitter @ndhedgehogging berkata:"Pecat beliau dari MOM KBS atau apa sahaja agensi kerajaan. Tiada lantikan politik."

@demimasa24434 berkata:"Gantilah dengan orang lain...".

Mohd Nazifuddin turut berkongsi dengan pengikutnya di Facebook dua keping gambar di dalam stadium sebelum pertembungan final antara Perancis dan Croatia pada Ahad lalu.

Pada aksi final itu Perancis menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua selepas menundukkan Croatia 4-2.

Gambar anak Najib hasil perkahwinan pertamanya itu turut mendapat reaksi chef terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan.

"Dalam tak ada duit dan mcm-macam alasan lagi lihat siapa di Piala Dunia.

"Ada dengar sampai sanggup gadai barang kemas untuk membantu bekas PM kita. Kenapa tak jual rumah mereka terus dan tambah kan lagi?," soalnya.

Chef Wan yang mempersoalkan kewajaran orang ramai berbuat demikian menerusi posting di Instagramnya turut menggesa rakyat Malaysia supaya 'buka mata' terhadap individu yang mereka bantu.

Nazif Najib, MOM, KBS, Piala Dunia

Artikel Lain