KUALA LUMPUR: Hasrat Felda United untuk kembali beraksi di pentas utama liga bola sepak negara menjadi realiti selepas muncul juara Liga Premier 2018 dengan menewaskan Sarawak 3-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya, petang Selasa. Kejayaan mengumpul 41 mata selepas 18 perlawanan (baki dua perlawanan) sudah cukup untuk membawa barisan anak buah B. Sathianathan kembali mewarnai kancah saingan Liga Super pada musim hadapan. Pada perlawanan tunggal Liga Premier petang itu, ‘The Fighters' beraksi dengan penuh bertenaga sebaik wisel pertama dibunyikan dengan penyerang dari Brazil Gilberto Fortunato membuka tirai jaringan seawal minit kelima. Rakan senegara Fortunato, Thiago Agusto pula menambah derita skuad Bujang Senang selepas menggandakan jaringan pada minit ke-39.Namun anak buah Andrew Gillan tidak cepat mengalah dan berjaya merapatkan jurang di hujung babak pertama menerusi jaringan Mateo Roskam untuk jaringan 1-2 pada masa rehat. Babak kedua menyaksikan Felda United lebih bernafsu untuk menjulang piala apabila Gilberto Valdenesio meletakkan pasukannya selesa mendahului 3-1 pada minit ke-66 dan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan. Sementara itu, pada aksi tunggal Liga Super di antara Kedah dan Terengganu FC 1 berakhir dengan keputusan terikat 1-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, malam Selasa. Kedah terlebih dulu di depan menerusi ayam tambatan mereka, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-43 sebelum Mohd Kamal Azizi Mohd Zabri menjadi penyelamat buat skuad Sang Penyu selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-61. - Bernama