PETALING JAYA: Pengurus skuad Bawah 23 Tahun (B-23), Datuk Mohd Yusoff Mahadi enggan berkongsi tindakan yang akan diambil terhadap pasukan negeri berkaitan pelepasan pemain. “Ketua jurulatih kita (Datuk Ong Kim Swee) dah hantar senarai pemain setiap pasukan terlibat. Dan kita tunggu sampai 30 Julai ini. “Kita tidak boleh mebuat andaian mereka tidak mahu melepaskan pemain sebelum tarikh tutup 30 Julai ini. “Kalau ada negeri atau pasukan yang tidak lepas, kita akan ambil tindakan susulan. “Kita akan guna cara kita,” jelasnya ketika ditemui selepas sidang media sulung Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Stuart Ramalingam pada Isnin. Beliau berkata demikian susulan timbul isu mengenai kemungkinan pasukan B-23 negara menarik diri pada kejohanan Sukan Asia yang akan berlangsung di Palembang, Indonesia bulan depan kerana kesukaran pasukan bola sepak negeri untuk melepaskan pemain terpilih menjalani latihan pusat. Isu berkenaan juga mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berhasrat mengadakan pertemuan dengan Kim Swee dan juga Exco Sukan negeri seluruh negara. Tambah Mohd Yusoff, yang Timbalan Presiden FAM, beliau tidak nampak kemungkinann ada pasukan negeri yang enggan melepaskan pemain. Sementara itu Stuart yang genap seminggu memegang jawatan ini, mengakui ia bukan tugas mudah. “Saya datang ke sini untuk menyahut cabaran. Dan KPI yang diberikan Presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin) adalah dalam tempoh tiga tahun untuk melaksanakan manifesto yang dirancang. “Saya masih menyesuaikan diri dengan suasana baharu ini dengan memahami kembali bola sepak Malaysia selepas hampir empat tahun meninggalkannya. “Namun dalam pada sama saya mempunyai tiga hala tuju sendiri dan salah satunya adalah program akar umbi. “Ia bukan sahaja tertumpu kepada NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Malaysia) tetapi melibatkan semua komuniti yang bermula dari awal,” jelasnya. Stuart, 41, dilantik memegang jawatan ini berdasarkan pengalaman selama 10 tahun dimiliki dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bersama organisasi tempatan dan antarabangsa termasuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).