PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan menempelak Velizar Popov yang menggelar skuad The Red Warriors (TRW) yang tersingkir ke Liga Premier musim depan sebagai 'Bibi FC'. Berang dengan kenyataan itu, Bibi menasihati pengendali dari Bulgaria itu supaya jangan gila talak. "Pesan saya kepada Popov jangan gila talak. Hakikatnya saya tak tahu apa motif sebenar dia kata begitu. "Saya tak kenal anda, anda juga tak kenal saya... macam mana boleh kata begitu. "Jadi lebih elok berhentilah jadi jurucakap tak bergaji. Jangan simbah minyak pada api," katanya ketika dihubungi mStar Online. Jelas usahawan batik itu, Popov sepatutnya tidak mencampuri urusan Kafa dan hanya fokus kepada pasukan yang diterajuinya ketika ini. "Saya harap dia duduk diam-diam jaga pasukan yang dia bimbing sekarang. Itu lebih baik daripada mengkritik pasukan yang dia pernah tinggalkan sebelum ini. "Setahu saya dia sendiri pun masuk pintu depan keluar ikut pintu belakang semasa mengemudi Kelantan dulu. Jadi perbetulkan diri dulu sebelum nak kritik pasukan yang pernah ditinggalkannya," kata Bibi. Malah Bibi berkata Popov sepatutnya berterima kasih kepadanya kerana sudah melunaskan tunggakan gajinya semasa di bawah pengurusan terdahulu. Pemain Terengganu, Lee Andrew Tuck melepaskan rembatan ke pintu gol Kelatan ketika pertembungan kedua-dua pasukan malam Isnin lalu. - fotoBERNAMA "Mesti ada sebab Kafa (pengurusan terdahulu) tak bayar gaji dia. Setidak-tidaknya berterima kasihlah kepada saya yang bertanggungjawab kepada 'Bibi FC' kerana bayar tunggakan gaji dia," katanya. Semasa mengambil alih Kafa pada September tahun lalu, Bibi sudah pun melunaskan tunggakan gaji Popov berjumlah RM59,975. Kelantan tersingkir daripada saingan Liga Super selepas tewas 0-2 kepada Terengganu malam Isnin. Penyingkiran TRW mendapat perhatian Popov yang juga bekas pengendali skuad tersebut pada 2016. Popov menyalahkan Bibi di atas penyingkiran tersebut dan menyifatkan pengurusan caca merba yang melayakkan pasukan itu dikenali sebagai 'Bibi FC'. "Kini, selepas dua tahun, masih sukar untuk percaya bahawa Kelantan akan tersingkir dari Liga Super. Tetapi pasukan yang tersingkir ini ialah 'Bibi FC' diketuai presiden Kafa yang akan kekal sebagai sejarah terburuk Kelantan. "Ia bukan TRW kerana penyokong-penyokong Kelantan adalah TRW - Ini adalah Kelantan, Ini adalah Kota Bharu, GKG (go kelantan go) !!," ujarnya dalam satu status di laman Facebooknya. Kali terakhir Kelantan yang pernah menjuarai Liga Super pada musim 2011 dan 2012 beraksi di Liga Premier ialah pada 10 tahun lalu. Kelantan sekadar mengutip 15 mata sepanjang musim ini.