suria

Chong Wei tarik diri, June Wei ganti

Cheam June Wei. -fotoTHESTAR

KUALA LUMPUR: Pemain muda negara, Cheam June Wei menjadi pilihan Persatuan Badminton Negara (BAM) untuk menggantikan Datuk Lee Chong Wei yang menarik diri pada temasya Sukan Asia di Jakarta-Palembang, bulan depan.

Menurut Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, selain June Wei dua nama lain iaitu Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Lim Chi Wing turut disenaraikan sebagai pengganti jaguh badminton negara itu.

Namun Mohamad Norza berkata June Wei dipilih atas kehendak ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek.

"Apabila saya bercakap dengan Datuk Misbun semalam (Rabu) mengenai pemain yang akan menggantikan Datuk Lee Chong Wei, sebagaimana kita sedia maklum beberapa nama dikemukakan. Antaranya Iskandar, Lim Chi Wing dan Cheam June Wei.

"Namun ia tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM untuk dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk perubahan nama. Kita ketengahkan Cheam June Wei sebagai pengganti," katanya.

Mohamad Norza mengumumkan perkara itu ketika ditemui media pada majlis memperkenalkan baju rasmi untuk Sukan Masters Asia Pasifik 2018 (APMG 2018) di sini, Khamis.

Ditanya mengenai keadaan Chong Wei ketika ini, Mohamad Norza berkata pemain kelahiran Pulau Pinang itu sedang menjalani rawatan selepas mengalami masalah pernafasan.

"Saya sentiasa berhubung dengannya. Beliau sekarang dalam proses pemulihan.

Lee Chong Wei.

"Sebagaimana Datuk Ng Chin Chai katakan semalam (Rabu) kita beri ruang kepada beliau untuk privasi bersama keluarga bagi menjalani proses tersebut," katanya.

Malah, Mohamad Norza memberitahu keadaan kesihatan Chong Wei akan diketahui dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu.

"Mungkin kita boleh bagi maklum balas dalam masa tiga minggu ke satu bulan," katanya.

Ketika ditanya lokasi Chong Wei menjalani rawatan pemulihannya, Mohamad Norza mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai perkara itu.

"Adalah... bagi dia sihat," katanya ringkas.

Pada Rabu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai berharap semua pihak terus memberikan sokongan kepada Chong Wei yang telah banyak berjasa kepada negara sepanjang penglibatan pemain itu selama 17 tahun dalam arena badminton.

Beliau berkata Chong Wei, yang menghadapi masalah ‘Respiratory Disorder' (masalah pernafasan), perlu menjalani pemeriksaan selama sebulan dan pihak BAM perlu menghormati permintaan pemain itu supaya tidak memaklumkan secara terperinci mengenai keadaannya ketika ini kepada umum.

“Saya dan Datuk Mohamad Norza Zakaria telah bertemu dengan Chong Wei, pada ketika ini dia tengah sugul dan privasinya perlu dihormati. Bagi dirinya, apa yang penting adalah untuk cepat sembuh,” katanya.

Chong Wei tidak menjalani latihan di ABM selama seminggu selepas pulang dari Kejohanan Terbuka Indonesia, awal bulan ini kerana masalah kesihatan.

Pada Selasa BAM dalam satu kenyataan mengesahkan pemain itu tidak akan menyertai Kejohanan Dunia di Nanjing, China bermula Isnin ini dan Sukan Asia 2018 di Jakarta mulai 18 Ogos hingga 2 September ini.

Dalam perkembangan berasingan, Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL) menjadi pengedar rasmi pakaian dan barangan untuk kejohanan APMG 2018 yang dijadualkan berlangsung pada 7 hingga 15 September depan,

Pengarah Urusannya, Datuk Radha Krishnan berkata beliau berbesar hati selepas diberi kepercayaan selaku pengedar rasmi pakaian sukan jenama Football Thailand (FBT).

Katanya, barangan rasmi sudah mula dijual secara atas talian pada Khamis di buymalaysia.com.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain