suria

Pemain naturalisasi: FAM sambut baik restu PM

Mohamadou Sumareh mendapat kerakyatan Malaysia pada April lalu.

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyambut positif kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi lampu hijau kepada skuad Harimau Malaya untuk menggunakan pemain naturalisasi.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM sebenarnya sudah bersetuju melantik Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas sebagai persediaan merealisasikan pengambilan pemain naturalisasi ini.

Jelas Hamidin, keputusan pelantikan Mohd Yusoff diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Melaka pada Sabtu lalu.

“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Tun M yang telah memberikan lampu hijau kepada pasukan Harimau Malaya menggunakan pemain berstatus naturalisasi, seperti dinyatakan kepada media hari ini.

“Saya juga rasa terharu kerana beliau sentiasa mengambil berat serta memantau perkembangan pasukan bola sepak kebangsaan dan sumbangan daripada pihak kerajaan jelas akan memainkan peranan positif dalam memajukan bola sepak tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Hamidin, FAM akan terus menggerakkan jawatankuasa khas tersebut untuk bertindak memperhalusi lagi hal berkaitan pengambilan pemain bertaraf naturalisasi bagi langkah selanjutnya.

Bagaimanapun beliau berkata, FAM akan terus berusaha memperkasakan program akar umbi seperti disarankan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini .

“Ia adalah program jangka masa panjang  bagi melahirkan pemain Harimau Malaya pada masa depan, biarpun FAM sedang berusaha ke arah naturalisasi pemain dalam masa terdekat ini,” katanya.

Pada Isnin, Dr Mahathir ‘merestui’ sekiranya Harimau Malaya mahu mendapatkan khidmat pemain naturalisasi.

Menurutnya, pengambilan pemain naturalisasi merupakan perkara biasa dalam sukan tersebut dan tidak salah untuk pasukan negara turut menggunakan pendekatan sama.

Sebelum ini, idea mengambil pemain naturalisasi diluahkan Hamidin sebaik dilantik sebagai Presiden FAM pada 14 Julai lalu.

Pemain Pahang, Mohamadou Sumareh juga berada dalam senarai teratas pemain naturalisasi yang berkemungkinan boleh bermain bersama skuad Harimau Malaya selepas pemain berusia 23 tahun itu mendapat taraf kerakyatan Malaysia April lalu.

 

pemain naturalisasi, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain