suria

Piala Malaysia: Kedah harap pemain pulih

ALOR SETAR: Kedah mengharapkan kesemua kesebelasan utamanya pulih daripada kecederaan sebelum tirai pembukaan Piala Malaysia 2018  bermula yang dijadualkan pada awal Ogos ini.

Ketua jurulatihnya, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata ketika ini prestasi pasukannya dilihat sedikit merosot apabila sebahagian besar pemain utama tidak dapat diturunkan hingga gagal dalam misi untuk berada di kelompok keempat Liga Super yang berakhir malam Ahad.

"Memang kami akui pada lima perlawanan terakhir Liga Super prestasi pasukan terjejas kerana ramai pemain cedera dan sukar bagi kami untuk mencapai kemenangan.

"Namun kami cuba dengan pemain muda tapi level mereka belum sampai pada tahapnya dan belum dapat membantu pasukan untuk mencipta kemenangan, sebab itu saya nak mereka pulih dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita di sini selepas tamat perlawanan antara Kedah dan PKNP malam Ahad.

Antara yang diharapkan dapat beraksi ialah penjaga gol Mohd Ifwat Akmal Che Kasim, Mohd Ariff Farhan Md Isa, Baddrol Bakhtiar, Liridon Krasniqi, Paulo Ranger dan Andik Vermansyah.

"Terdekat ini Liridon Krasniqi berjanji akan pulang dari luar negara dalam keadaan pulih pada 1 Ogos ini dan berharap beliau dapat membantu menaikkan semula semangat pasukan dan rentak permainan," katanya.

Kedah gagal berada di kelompok empat teratas apabila tewas dengan PKNP dengan jaringan 1-3 pada perlawanan terakhir Liga Super 2018 di Stadium Darul Aman malam Ahad.

Kekalahan itu menyebabkan Kedah jatuh ke tangga keenam liga dengan hanya mengutip 32 mata di bawah Teregganu dengan 34 mata.

Dalam pada itu, Ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim berkata beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemainnya walaupun mengakhiri Liga Super ditangga kesembilan iaitu di bawah Selangor.

"Fokus kami dalam Piala Malaysia pula, walaupun agak sukar dengan pemain yang tidak konsisten, ada menang dan ada kalah, kami jadikan panduan, namun harus diingat pasukan  PKNP mampu bersaing hingga suku akhir Piala Malaysia musim lalu," katanya. - BERNAMA

Kedah, Piala Malaysia

Artikel Lain