BEKAS kapten England, David Beckham akan menerima Anugerah Presiden UEFA di atas sumbangannya terhadap bola sepak dan usahanya dalam mempromosikan sukan itu. Beckham pernah beraksi bersama Manchester United, La Galaxy, Real Madrid, AC Milan dan Paris St Germain. Usaha kemanusiaan suami kepada bekas penyanyi Spice Girls, Victoria Beckham itu turut dipuji UEFA. UEFA berkata pemilihan Beckham adalah bagi mengiktiraf karier dan usaha misi kemanusiaannya. Presiden UEFA Aleksander Ceferin menyifatkan Beckham sebagai ikon bola sepak sebenar semasa generasinya. Antara legenda bola sepak yang pernah menerima anugerah itu termasuk Johan Cruyff, Bobby Charlton, Franz Beckenbauer, Bobby Robson dan Paolo Maldini. Beckham, 43, melakukan 115 penampilan untuk England. "Saya amat berbangga terpilih sebagai salah seorang pemain yang menerima anugerah ini," katanya. Bapa kepada empat anak itu akan menerima anugerah tersebut di Monaco akhir tahun ini.