AARON Ramsey dan Arsenal gagal mencapai kata sepakat berhubung kontrak baharunya selepas pemain tengah itu menuntut kenaikan gaji dua kali ganda. Kontrak bintang Wales itu akan tamat pada hujung musim ini. Pemain berusia 27 tahun itu ketika ini menerima bayaran gaji sebanyak 110,000 pound sterling seminggu. Namun menurut The Evening Standard, Ramsey mahu gajinya dinaikkan dua kali ganda untuk menjadikannya pemain memperoleh pendapatan tertinggi di Emirates. Mesut Ozil merupakan pemain bergaji paling mahal di Arsenal ketika ini dengan bayaran sebanyak 350,000 pound sterling seminggu. Dengan situasi itu, Chelsea, Manchester United dan Barcelona dilaporkan sedang mengintai peluang untuk menyambar Ramsey. Ramsey menyertai Arsenal pada 2008 dari Cardiff dan melakukan 331 penampilan untuk pasukan itu.