PEMAIN dan kakitangan Manchester United percaya Jose Mourinho boleh dipecat sekiranya pasukan itu meneruskan kekalahan di Burnley pada Ahad. Ramalan mengenai ketua eksekutif Manchester United, Ed Woodward akan memecat Mourinho hangat diperkatakan berikutan kelab itu tewas dua kali berturut-turut kepada Brighton dan Tottenham. Ia merupakan suasana yang menyelubungi hari-hari terakhir pengurus pasukan terdahulu, Louis van Gaal pada 2016 sebelum beliau digantikan dengan Mourinho. Para pemain kini meramalkan kemungkinan Zinedine Zidana bakal menjadi pengurus baharu kelab itu. "Mereka mengatakan Jose akan pergi tidak lama lagi," kata sumber kepada Sportsmail pada malam Selasa. "Ada yang fikir dia akan keluar jika mereka kalah di Burnley. Orang lain melihat dia tidak akan dapat bertahan selepas September. "Kami telah melihat keadaan yang sama sebelum ini. Kelab itu akan mengatakan ia menyokong Jose tetapi kita semua melihat apa yang telah berlaku pada Louis. "Pemain sudah bercakap mengenai kemungkinan Zidane akan tiba ke sini," katanya. - Mail Online UK