suria

"Saya makin bersemangat, mahu buktikan bakat sebenar..." - Fatin terharu komen Tony Hawk

Fatin ketika memulakan pusingan akhir pada acara ‘Women Street’ sempena Sukan Asia 2018 di Venue Sepatu Roda Bandar Sukan Jakabaring pada 29 Ogos lalu. - fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Pernah tertekan gara-gara dikecam teruk netizen, atlet wanita papan selaju, Fatin Syahirah Roszizi kini mahu melupakan episod hitam tersebut.

Anak kelahiran Kajang, Selangor itu berkata pengalaman itu menjadikan dirinya lebih matang dan menguatkan lagi semangatnya untuk meneruskan minat terhadap sukan lasak yang diceburinya itu.

"Tidak dinafikan saya amat tertekan sejak prestasi saya pada Sukan Asia dikecam hebat netizen... tapi sekarang saya dah OK.

"Pengalaman itu mematangkan saya. Saya juga jadi makin bersemangat... saya mahu buktikan bakat sebenar saya kepada orang ramai selepas ini," katanya kepada mStar Online.

Nama pelajar tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Kajang itu menjadi bualan hangat netizen selepas sebuah klip video yang memaparkan aksinya yang kurang memberangsangkan menjadi tular.

Fatin menamatkan saingannya di tangga tercorot dengan aksi buruk seawal permainan bermula dan sekadar memungut 5.4 mata.

Sejak itu, Fatin menjadi mangsa buli siber sehingga insiden itu mendapat perhatian atlet profesional papan selaju Amerika Syarikat (AS), Tony Hawk.

Hawk tampil mempertahankan Fatin menerusi satu komen yang ditulisnya pada posting Instagram milik atlet berusia 16 tahun itu.

Fatin memberitahu dia terkejut dan pada masa sama terharu dengan komen atlet profesional itu.

Komen Tom Hawk di IG Fatin mendapat lebih 8,000 tanda suka dalam kalangan pengikutnya.

"Alhamdulillah. Saya amat terharu kerana dia (Tom Hawk) pertahankan saya. Saya berterima kasih kepadanya di atas kata-kata semangat yang diberikan.

"Tak sangka isu ini jadi viral sampai dapat perhatiannya. Siapalah saya ini nak jadi berita hangat.

"Tapi skateboarders sentiasa bersatu. Saya sedar mereka turut melalui pengalaman yang sama dan ia menjadikan mereka kuat," katanya.

Menjelaskan mengenai prestasi hambarnya, Fatin berkata ia berpunca daripada kecederaan ligamen di buku lali kaki kirinya ditambah pula dengan perasaan gemuruh.

"Ini penampilan pertama saya di kejohanan besar, saya tak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan saya waktu itu.

"Saya jadi nervous dan sebenarnya kecederaan saya itu masih belum pulih sepenuhnya," kata anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu.

Bercerita mengenai pembabitan awalnya dalam sukan itu, Fatin berkata dia berjinak-jinak dalam sukan lasak itu sejak berusia 13 tahun.

"Saya mula bermain skateboard semasa di tingkatan 1. Sebelum itu, saya main singleboard ... skateboard kecil tapi main pakai jari.

Fatin berjinak-jinak dalam sukan lasak itu pada usia 13 tahun.

"Masuk je sekolah menengah saya nampak ada orang main skateboard dekat taman sebelah sekolah selepas ko-kurikulum. Minat mula timbul dan saya pun cuba, kemudian lama-lama macam nak ada skateboard sendiri.

"Saya beli dan main saja-saja. Selepas itu saya dapat penaja pada tahun kedua saya bermain, sejak dari itu barulah saya aktif sepenuhnya," katanya.

Fatin berkata dia tidak terlibat dalam sebarang kejohanan di awal pembabitannya dalam sukan itu tetapi bakatnya dihidu Skate4Mation menerusi video yang dimuatnaik dalam IG miliknya.

"Saya terkejut apabila Skate4Mation hubungi saya beritahu mereka mahu menjadi penaja saya.

"Saya ingin nak main saja-saja. Sejak itu mereka galakkan saya untuk sertai apa-apa kejohanan yang dianjurkan," katanya.

Sebelum beralih arah kepada sukan papan selaju, Fatin memberitahu dia aktif dalam sukan bola lisut.

Namun katanya, minatnya terhadap sukan itu sejak di bangku sekolah rendah lagi terpaksa dilupakan apabila dia memasuki tingkatan satu.

"Saya aktif dalam sukan bola lisut semasa darjah 4. Saya pernah wakili daerah, paling jauh pernah sampai pemilihan wakil Selangor.

"Lepas tu saya tukar angin sebab dekat sekolah menengah tak hantar wakil perempuan dalam sukan itu," katanya.

Artikel Lain