suria

Selamat tinggal Jakarta-Palembang... jumpa di Hangzhou 2022!

JAKARTA: Indonesia mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada ribuan atlet Asia dalam suasana penuh mesra dan meriah apabila temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 melabuhkan tirainya di Stadium Utama Gelora Bung Karno, di sini malam Ahad.

Upacara penutupan sukan edisi ke-18 itu berlangsung dalam suasana warna warni serta lebih 60,000 penonton di stadium dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan serta nyanyian oleh artis-artis terkenal Indonesia serta persembahan kumpulan K-pop dari Korea Selatan iaitu Super Junior dan iKON.

Percikan bunga api berwarna-warni menghiasi ruang udara stadium pada majlis yang penuh bermakna bagi atlet Asia yang bertarung selama 14 hari untuk membuktikan keunggulan dalam sukan masing-masing dengan menyaksikan China dinobatkan selaku juara keseluruhan.

China mengumpul 132 emas, 92 perak dan 65 gangsa diikuti Jepun (75-56-74), Korea Selatan (49-58-70) dan tuan rumah Indonesia di tangga keempat dengan 31-24-43 manakala Malaysia menghuni tangga ke-14 dengan tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa.

Majlis dimulakan dengan upacara perarakan kontinjen dengan Malaysia diterajui oleh ketua kontinjen, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi serta 113 atlet dan pegawai.

Susulan perarakan itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo memberi ucapan secara langsung menerusi sidang video diikuti ucapan terima kasih oleh Timbalan Presiden, Jusuf Kalla.

Presiden Indonesia itu tidak dapat hadir pada majlis itu kerana sedang melawat mangsa gempa bumi di Lombok, Barat Nusa Tenggara.

Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah kemudian mengambil tempat di pentas dengan menyampaikan ucapan penghargaannya kepada kerajaan Indonesia atas kejayaan negara itu menganjurkan temasya sukan tersebut.

Beliau kemudian mengisytiharkan Sukan Asia 2018 dengan tema ‘Energy of Asia' ditutup dengan rasminya dan bendera OCA kemudian diturunkan, Indonesia kemudian menyerahkan obor dan bendera Sukan Asia kepada China sebagai tuan rumah edisi ke-19 pada 2022.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan menyerahkan bendera dan obor tersebut tersebut kepada Datuk Bandar Hangzhou, Xu Liyi dan Presiden Jawatan Olimpik China, Gou Zhongwen.

Bandaraya Hangzhou menjadi bandar raya ketiga China menjadi tuan rumah pada 2022 selepas Bejing pada 1990 dan Guangzhou pada 2010.

Tumpuan penonton kemudian terarah kepada obor temasya yang dipadamkan selepas dinyalakan sejak majlis perasmian 18 Ogos lalu.

Lebih 11,000 atlet dan pegawai dari 37 negara mengambil bahagian dalam 40 jenis sukan pada temasya yang diadakan di Jakarta dan palembang.

Ini merupakan kali kedua Indonesia menjadi tuan rumah selepas edisi 1962 di Jakarta. - BERNAMA

Sukan Asia

Artikel Lain